
KARAMJIT SINGH MASIH LAGI UNGGUL DI MAM – MALAYSIAN RALLY CHAMPIONSHIP 2025 PUSINGAN KEDUA DI SEPANG
Peminat rali tanahair pasti boleh bergembira dengan penganjuran pusingan pertama MAM – Malaysian Rally Championship di Rally Jempol kira – kira dua minggu sudah. Dan kini telah pun selamat berlangsungnya pusingan kedua MAM – MRC yang diadakan di Petronas Sepang International Circuit bersempena dengan penganjuran Malaysia Festival of Speed.
Jom kita baca rumusan tentang penganjuran yang masuk kali kedua ini
- Perlumbaan rali bersempena dengan penganjuran Malaysia Festival of Speed ini kali kedua diadakan selepas kali pertama pada tahun sudah dengan membabitkan beberapa disipilin perlumbaan seperti gymkhana, pushbike dan juga e-sport turut dianjurkan.
- Lokasi perlumbaan masih lagi dilangsungkan membabitkan persekitaran kawasan Petronas Sepang International Circuit / KLIA membabitkan kawasan ladang kelapa sawit yang pastinya sudah menjadi tanda pengenalan untuk acara rali di Malaysia.

- Perlumbaan kali ini membabitkan 9 SS dengan tiga lokasi utama membabitkan tiga pusingan membabitkan keseluruhan jarak SS 101.73 km dengan kawasan parkir terbuka berhampiran pintu masuk PSIC dijadikan sebagai service park untuk semua pasukan.
- Perlumbaan rali kali kedua mengikut kalender perlumbaan MAM MRC ini sekali lagi menarik minat penyertaan terdiri daripada nama besar dan biasa seperti Karamjit Singh, Saladin Mazlan, dan juga Haji Sutan. Menarik juga kemunculan semula pemandu rali Faidzal Alang yang kembali menyertai perlumbaan rali di Sepang selepas tidak mengikuti perlumbaan pertama di Jempol.

- Seperti diduga, pemandu lagenda negara Karamjit Singh yang berpasangan dengan Musa Sherif bersama jentera Proton Gen2 4WD mengungguli saingan apabila menamatkan saingan dengan kelebihan masa 1:31:35. Malah Karamjit Singh berjaya mengungguli setiap SS tanpa bergaya walau pun memandu jentera tua tetapi dia punya serupa ERL oi!

- Tempat kedua keseluruhan menjadi milik Haji Sutan Mustaffa Salihin bersama juruarah Kamarul Anuar Mohd Razzali yang memandu Subaru Impreza WRX sekali gus mengulangi pencapaian yang serupa di Rally of Jempol tempohari. Pun begitu prestasi Haji Sutan kali ini dianggap masih cukup baik memandangkan beliau telah mengenakan set suspensi yang baharu tanpa sempat mengujinya terlebih dahulu. Malah beliau juga maklumkan bahawa beliau telah tertinggal tayar gantian yang baharu dan hanya membawa tayar gantian terpakai. Mujur tiada sebarang insiden membabitkan tayar Subaru beliau.
- Tempat ketiga keseluruhan menjadi milik Faidzal Alang bersama juruarah Zamri Muamat yang memandu jentera Mitsubishi Evo 6. Rezeki beliau nampaknya untuk mendapatkan podium penyertaan pertama tahun ini. Mungkin selepas ini beliau kena terus beraksi dalam saingan berikutnya untuk MAM MRC 2025 ini.

- Perlumbaan kali ini juga menyaksikan seorang lagi pemandu lagenda, Saladin Mazlan bersama juruarah Aris Qutb tidak lagi menggunakan jentera MINI Deus untuk beraksi. Khabarnya kerosakan power stereng yang dihadapi di Jempol tempohari masih lagi belum diperbaiki. Malah, sebenarnya mereka hampir tidak menyertai pusingan kali ini. Mujurlah jentera Subaru Impreza WRX yang baharu dibeli daripada Datuk Hanif Borhan sempat tiba pada hari Khamis dan mereka hanya membuat kerja – kerja asas tanpa sempat menguji langsung jentera tersebut. Dan SS pertamalah ujian pertama buat Saladin menguji jentera yang sedia ada buas ini. Hasilnya mereka berjaya mencatatkan masa kedua terpantas ketinggalan 48 saat di belakang Karamjit Singh.
- Namun Subaru Impreza WRX Saladin mengalami masalah dengan suspensi dan tidak dapat meneruskan aksi ketika SS4 hingga ke ahirnya.
- Nasib malang juga menimpa anak beliau, Saladin Mazlan yang memandu Proton Satria Neo juga menghadapi masalah dengan ketiadaan brek dan hanya bergantung kepada engine breaking ketika mengambil selekoh.

- Khairul Nizam bersama juruarah Shahrol Zainol pula mengulangi skrip yang serupa menimpa mereka di Asahan tahun lalu apabila sistem suspensi bahagian kiri hadapan patah dan memerlukan juruarah untuk menjadi Superman di bahagian tingkap belakang pemandu bagi mengimbangi Proton Iriz 4WD mereka agar tidak bergesel teruk dengan badan kereta. Malah mereka sempat ditahan oleh tiga Anggota Peronda Polis yang melihatkan situasi tersebut ketika mereka hampir tiba di Service Park. Mujur tiada sebarang urusan tandatangan membabitkan saman berlaku. Syabas kepada Anggota Polis tersebut kerana memahami keperluan perlumbaan rali ini. Mujur juga bos Ftuned Wan Ahmad Farouk memang telah bersedia dengan alat ganti untuk sistem suspensi tersebut dan telah berjaya diganti untuk meneruskan kembali saingan.
- Menyangka malang yang menimpa sudah habis, Proton Iriz mereka sekali ditimpa masalah dengan masalah ball joint sistem stereng yang patah ketika SS5 serta masalah dengan enjin yang mati namun tetap kembali untuk menghabiskan rali. Syabbas bette!

- Mujur rakan sepasukan, Nazatul Shima bersama Nur Arsyad berjaya mendapatkan kemenangan dalam kelas M1 bagi menggembirakan krew dan rakan yang lain.
- Pasukan Purnama Rally Team juga turut menerima tempias drama dalam sukan rali apabila mereka turut menghadapi masalah tayar pancit serta terdapat insiden pelanggaran dengan pemandu dari Indonesia, Anif Fauzi mujur juga tidak berlaku kemalangan yang serius.
- Dan pemandu Purnama Rally Team, Ikhsan Husni dan juruarah Ikhsan Husni berjaya memenangi kelas M2 dengan memandu jentera Proton Satria 1.6.

- Sementara itu, anak muda berasal dari Perlis Azrul Azhar turut berjaya menaiki podium untuk kelas M4 dengan memandu jentera Proton Satria 1.8.
- Terdapat kemunculan model lagenda Toyota KE70 yang dipandu oleh seorang lagi otai dalam dunia rali, P Nandakumar. Ajaibnya Toyota KE70 ini menggunakan enjin 3S-GE kau! Dia punya pergi jangan cakaplah. Untuk pertama kali beraksi ini, dapat podium ketiga dalam kelas M4 ini dianggap sudah cukup baik walau pun sempat mengalami masalah dengan brek jam ketika memulakan SS1.

- Jentera Honda Jazz yang pertama kali beraksi dalam aksi gravel di Malaysia kali ini dipandu oleh Roni Risman bersama jururah Syakirin Razaki turut menerima tempias drama apabila jentera tersebut mula mengalami masalah ketika hendak memulakan SS3 sebelum melarat apabila top mount tower koyak.
- Hasrin Tahir dan Hendra Eryawan yang memandu Proton Satria Neo 1.6 pula berjaya memenangi saingan kelas M3.

- Penutup artikel, marilah kita berikan sedikit penghargaan buat Zero Car Subaru Impreza GC8 yang dipandu oleh ShahBandi bersama juruarah Haji Suhaimi Saiko. Tanpa mereka, setiap SS tidak boleh dijalankan sama sekali. Si Bandi tu dah ketar lutut sebenarnya. Time launching pun RPM sampai redline.
Tamat sudah aksi di Sepang walau pun terdapat cakap – cakap mengatakan ada yang kurang berpuas hati dengan penganjuran kali ini. Semoga ianya menjadi iktibar buat semua di masa hadapan. Baiklah, khabarnya juga aksi rali seterusnya akan membabitkan Rally Sprint pula anjuran Roduwan Rashid pada Oktober nanti. Meriah betul suasana rali kita tahun ini kan?
BACA : KARAMJIT UNGGULI KEJUARAAN RALI MALAYSIA MAM 2025
BACA : MAM MALAYSIAN RALLY CHAMPIONSHIP 2025 – MARI MERIAHKAN SEMULA SUKAN RALI TANAHAIR



