
KERETA CEPAT WHOOSH: BUMN RUGI LEBIH RM1 BILION
Projek Kereta Cepat Jakarta–Bandung (KCJB) atau Whoosh yang telah beroperasi sejak tahun lalu, ternyata masih belum mampu memberikan pulangan keuntungan.
Sebaliknya, projek mega ini terus menjadi beban kewangan kepada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (BUMN) Indonesia yang terlibat dalam konsortium.
Empat BUMN yang berada di bawah payung PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PSBI), sebagai pemegang saham utama PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) kini menanggung kesan daripada hutang menimbun serta kadar faedah tinggi yang perlu dibayar kepada China Development Bank (CDB).
Sebahagian besar pembiayaan projek datang daripada pinjaman CDB, manakala bakinya disokong oleh dana kerajaan (APBN) serta modal patungan antara BUMN Indonesia dan syarikat China.

Sejak dimulakan pada 2016, projek ini berdepan dengan isu pembengkakan kos. Perbelanjaan tambahan mencecah AS$1.2 bilion (sekitar RM5.22 bilion), lebih mahal daripada cadangan awal yang pernah dikemukakan oleh Jepun.
Untuk menutup kos lebihan tersebut, kerajaan Indonesia terpaksa menambah hutang baharu selain menggunakan dana APBN.
Dalam laporan kewangan PT Kereta Api Indonesia (KAI) bertarikh 30 Jun 2025 (unaudited), PSBI mencatatkan kerugian Rp4.195 trilion (RM1.21 bilion) sepanjang tahun 2024. Kerugian itu berlanjutan pada tahun ini, dengan nilai Rp1.625 trilion (RM469.9 juta) bagi separuh pertama 2025.
Sebagai pemegang saham terbesar KCIC, PSBI menanggung kerugian, sekaligus memberi kesan langsung kepada empat BUMN yang menjadi pemegang sahamnya.
KAI memiliki pegangan saham terbesar iaitu 58.53 peratus, diikuti oleh Wijaya Karya (33.36 peratus), Jasa Marga (7.08 peratus), dan PTPN VIII (1.03 peratus).
Sementara itu, dari pihak China, lima syarikat gergasi turut bergabung melalui konsortium China Railway yang merangkumi China Railway International Company Limited, China Railway Group Limited, Sinohydro Corporation Limited, CRRC Corporation Limited, serta China Railway Signal and Communication Corp.
Gabungan dua konsortium dari Indonesia dan China inilah yang menubuhkan KCIC, dengan PSBI menguasai 60 peratus saham, manakala baki 40 peratus dipegang oleh China Railway.
RANCANGAN SAMBUNG HINGGA SURABAYA
Pengalaman pahit akibat kos KCJB yang membengkak membuatkan kerajaan lebih berhati-hati untuk meneruskan sambungan laluan baharu ke Surabaya.
Projek ini diharap mampu memangkas masa perjalanan Jakarta–Surabaya kepada sekitar 3.5 jam, berbanding 9 hingga 10 jam menggunakan kereta api biasa.
Kementerian Perhubungan kini sedang menilai semula kajian kebolehlaksanaan, termasuk kemungkinan menggunakan konsep kereta semi-cepat dengan kelajuan 160–200 km/j, lebih rendah daripada kereta cepat penuh seperti laluan Jakarta–Bandung.
Pertimbangan ini dibuat bagi menyesuaikan kos dengan keadaan kawasan padat penduduk yang dilalui, termasuk Cirebon, Semarang, Solo dan Surabaya.
Buat masa ini, kerajaan masih mempertimbang laluan yang sesuai sama ada melalui utara, selatan, atau gabungan kedua-duanya.
Menteri Koordinator Bidang Infrastruktur, Agus Harimurti Yudhoyono (AHY), berkata Presiden Prabowo Subianto telah memberikan arahan jelas untuk meneruskan sambungan projek ini.
“Presiden Prabowo Subianto menegaskan supaya projek kereta cepat diteruskan sehingga Surabaya. Ini adalah visi besar untuk menghubungkan seluruh Pulau Jawa dengan sistem pengangkutan moden dan efisien,” katanya.
Menurut AHY, kerajaan juga sedang menyiapkan kerangka peraturan baharu agar projek ini dapat menarik lebih banyak pelaburan swasta tanpa perlu terlalu bergantung kepada dana kerajaan.
- BACA: KEMPEN MERDEKA GWM 2025: HADIAH RM120,000 MENANTI PELANGGAN
- BACA: NINJA VAN MALAYSIA BUKA 44 LALUAN GLOBAL, HARGA PENGHANTARAN SERENDAH RM70
- BACA: KTM NAIK TARAF 690 SMC R DAN 690 ENDURO R BAGI TAHUN 2026 – 77.9HP, 73NM
- BACA: LEXUS SPORT CONCEPT BAYANGAN MODEL BERPRESTASI LEXUS, GANTI LFA? BAGAIMANA DENGAN SUPRA?







