
MAM MALAYSIAN RALLY CHAMPIONSHIP 2025 – MARI MERIAHKAN SEMULA SUKAN RALI TANAHAIR
Buat para penggiat dan peminat sukan rali tempatan sudah tentu merindui akan kemeriahan Kejuaraan Rali Malaysia (Malaysian Rally Championship – MRC) yang kali terakhir dianjurkan pada tahun 2018 dengan menyaksikan saudara Roduwan Rashid ditabalkan sebagai juara kebangsaan.
Walau pun ada beberapa kali kejohanan rali berskala indie, ianya bolehlah sebagai pelepas rindu sahaja. Mujurlah juga pada tahun lepas wujud juga Millenium Iconic Rally Championship (MIRC) yang sedikit sebanyak mengubat duka dan lara penggiat rali dengan dua lokasi penganjuran di Johor dan Melaka.

Rally of Asahan yang diadakan pada penghujung tahun sudah berjaya memperlihatkan kebangkitan semula sukan rali tanahair yang telah lama merindui aksi sukan rali di permukaan tanah merah dan celahan ladang kelapa sawit.
Dan untuk tahun ini, penganjur yang serupa Millenium Motorsport Adventures Club (MMAC) telah bekerjasama dengan Motorsport Association Malaysia (MAM) bagi mengadakan kembali kejuaraan rali di Malaysia dengan nama baharu, MAM Malaysia Rally Championship.

Dan untuk pusingan pertama, ianya akan diadakan di Rally of Jempol pada 2 – 3 Ogos 2025 bertempat di sekitar Felda Raja Alias, Bandar Jempol Negeri Sembilan. Ianya akan diadakan dengan mendapat kerjsama juga daripada Pejabat YB Parlimen Jempol sendiri.
Acara ini merupakan salah satu pusingan kejuaraan rali peringkat kebangsaan yang akan menghimpunkan pelumba-pelumba tempatan serta antarabangsa, sekaligus mempromosikan sukan permotoran tanah air dan merancakkan lagi sektor pelancongan sukan di Negeri Sembilan.
Selain daripada aksi perlumbaan rali yang mendebarkan, juga akan terdapat karnival bersempena dengan acara rali ini yang pastinya akan menarik minat pengunjung tempatan dan juga luar untuk hadir bagi menyaksikan kemeriahan program ini.

Selepas aksi di Jempol, pusingan berikutnya akan diadakan di Sepang dengan membabitkan sekali acara Malaysia Festival of Speed yang mana acara ini telah diadakan secara one-off pada tahun lepas. Tetapi kali ini ianya akan dimasukkan sebagai salah satu pusingan dalam kalendar MAM – MRC musim ini.
Menurut sumber penganjur yang sempat dihubungi, setakat ini terdapat 20 penyertaan yang telah diterima. Dari segi penyertaan antarabangsa, setakat ini hanya terdapat seorang sahaja individu yang akan hadir sebagai Juruarah kepada pemandu lagenda negara kelak.
Menurutnya lagi, akan terdapat juga sebuah jentera Myvi generasi pertama akan mengambil bahagian, mungkin sebagai pengubat rindu buat jentera Myvi yang dipandu oleh saudara Zam sebelum ini namun musim ini terpaksa berehat panjang akibat daripada kecederaan lutut yang dihadapinya.
Yang pasti, MRC sudah kembali. Ayoh semua kita meriahkan semula rali di Malaysia!
BACA : RALLY OF ASAHAN 2024 – KARAMJIT SINGH MASIH LAGI UNGGUL UNTUK MENANG DI MELAKA

