
INI KIA K5 (OPTIMA) BAHARU, LAWA KAN?
Selain Kia Forte generasi pertama, sedan eksekutif Optima atau K5 generasi keempat dan kelima turut mempunyai rekabentuk yang menarik. Dua generasi tersebut hadir dengan gayaan yang langsung berbeza dengan model sebelumnya.
Walaupun Optima generasi kelima (JF) mengekalkan gaya yang hampir sama dengan generasi keempat (TF), penerimaan di kalangan pengguna tempatan amat berbeza sekali. Sukar untuk menemui Optima JF di jalan raya.
Apa pun, Optima JF sekarang ini memasuki tahun keempat dan menariknya Kia sudah pun menyiapkan model pengganti dan bakal dijual di Korea Selatan pada Disember 2019.
Sebelum pelancaran rasmi, Kia telah mendedahkan beberapa keping gambar luaran K5 baharu dan ternyata ia tampil berbeza dengan rekabentuk revolusi berbanding sebelum ini.
Pada sukuan depan, K5 baharu dilihat mempunyai pengaruh Sonata yang juga baru dilancarkan. Pengaruh itu lebih jelas dilihat apabila K5 turut membawa bentuk sportback.
Walaupun begitu, K5 hadir dengan identiti tersendiri melalui evolusi baharu Tiger Nose yang dipegang sejak dahulu dan berjaya menaikkan jenama Kia.
Tekstur gril K5 dibuat mengikut tekstur kulit ikan jerung yang mempunyai imej sporti dan berkuasa.
Bahagian tepi dilihat berseni dan maskulin dengan badan yang sedikit mengecil pada bahagian tengah di antara roda depan dan belakang.
Turut menaikkan bahagian sisi ialah identiti yang dibawa dari Optima TF dan JF iaitu garisan krom atau perak dari tiang A hingga ke belakang. Garisan itu menyerlahkan lagi bentuk fastback pada K5 baharu.
Dari segi saiz, K5 baharu lebih panjang dan lebar berbanding model sebelum. Ukuran panjang ditambah 50mm kepada 4,905mm manakala lebar bertambah 25mm kepada 1,860 mm.
Jarak roda (wheelbase) pula meningkat kepada 2,850mm untuk karakter pemanduan stabil. Walaupun banyak bertambah, K5 baru lebih rendah dengan penurunan 20mm kepada 1,445mm yang menyerlahkan imej sporti.
Bahagian belakang langsung berbeza dengan sebelum ini. Lampu LED belakang terus bersambung dengan but yang sedikit menaik seperti spoiler halus.
Garisan krom dari tiang A yang merupakan identiti K5 tampil unik dan bersambung terus ke bawah cermin belakang dan menyatukan bahagian sisi kanan, kiri dan belakang kereta.
Bagi pilihan enjin, Kia masih berahsia dengan jenis yang ditawarkan. Kia juga belum memperincikan bahagian dalaman K5 baharu.
Secara kesimpulannya, Kia berjaya lari dari gaya bahasa dua generasi Optima sebelum ini dan dari imej awalan ini Kia sekali lagi tampil dengan elemen WOW yang biasa dibawa.
BACA: KIA FORTE KOUP DAN CERATO KOUP, 2 GENERASI COUPÉ YANG ‘RARE’
BACA: KIA FORTE – BERMULANYA ERA KEBANGKITAN KIA MOTORS
BACA: KIA SELTOS – CROSSOVER KOMPAK GLOBAL KIA DARI INDIA