Buletin

KENAPA SUPERCAR TERBENGKALAI DI DUBAI?

Acapkali foto-foto kereta terbengkalai muncul di Dubai sehingga kelihatan agak pelik apabila pemilik kenderaan sanggup membiarkan jentera mencecah jutaan ringgit dimamah padang pasir.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengapa perkara tersebut berlaku.

Justeru, Donut Media telah merungkai secara ringkas persoalan yang bermain di benak fikiran orang ramai malah memberi kaedah memiliki kenderaan tersebut.

Bagi persoalan pertama, jawapan ringkas yang diperoleh adalah disebabkan bebanan hutang.

Kedudukan terletak di Teluk Parsi dan berhampiran Teluk Oman menjadikannya tarikan kepada ahli perniagaan asing terutama dengan hasil kekayaan minyak dimiliki Dubai.

Bahkan, dianggarkan sehingga 90 peratus penduduk Dubai bukanlah anak jati kelahiran Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dengan memiliki kekayaan tersebut, orang ramai mampu membeli barangan berjenama termasuk supercar dan kereta mewah popular.

Bagaimanapun, apabila anda menetap di Dubai, mereka yang gagal membayar pinjaman boleh ditangkap dan dihumban dalam penjara.

Tidak sukar membayangkan jika seseorang yang kehilangan pekerjaan atau apa sahaja sehingga berdepan bebanan hutang akan mengambil tindakan melarikan diri dari negara terbabit bagi mengelak dimasukkan ke penjara.

Terdapat kaedah lain mengelak perkara tersebut tetapi pilihan popular merupakan melarikan diri sahaja.

Melalui tindakan tersebut, ia mengakibatkan banyak kenderaan-kenderaan dibiarkan begitu sahaja di tepi jalan ataupun padang pasir bersama kuncinya.

Kenderaan-kenderaan terbengkalai itu akan dilelong kepada orang ramai tetapi jika ingin memilikinya perlu berhati-hati kerana tidak mengetahui keadaan serta apa yang bakal diterima kelak.

Salah satu cara lain untuk memiliki kenderaan terbengkalai ini adalah menggunakan perkhidmatan syarikat yang mengendalikan pembelian kenderaan-kenderaan terbengkalai ini.

Ada tapinya, anda perlu mengeluarkan modal yang sangat besar kerana syarikat-syarikat terbabit ditubuhkan untuk membeli kenderaan-kenderaan itu dan membaikinya sebelum dijual kepada para pelanggan. – carscoops

Google ads
Back to top button