
DUBAI AMBULANCE SERVICE – BUKAN AMBULAN BIASA-BIASA
Pasukan polis Dubai memang sudah lama terkenal dengan kereta-kereta peronda paling laju, paling mahal dan paling bergaya yang digunakan khusus untuk err… menarik perhatian pelancong. Tapi bukan itu sahaja, rupa-rupanya mereka turut memiliki perkhidmatan ambulan yang sangat-sangat bergaya dan kini dengan penambahan dua lagi model memang Pok Ya pun sanggup jadi paramedik.
Perkhidmatan ambulan Dubai kini memaklumkan yang mereka baru sahaja menerima kenderaan terbaru, sebuah Nissan GT-R dan sebuah Chevrolet Corvette C7. Bukan Corvette C7 biasa tetapi sebuah model Grand Sport. Manalah tahu jika anda perlu dikejarkan ke hospital dengan secepat mungkin.

Okey, adakah kereta-kereta ni boleh digunakan sebagai ambulan biasa yang lengkap dengan katil dan segala kelengkapan menyelamat? Jawabnya masih tak boleh, celah mana nak segala pengusung tu kan. Jadi sebenarnya ia akan digunakan untuk rondaan di kawasan yang sesak dengan pelancong dan membuat kemunculan di acara-acara sukan motor untuk tujuan promosi.
Tapi bukan tidak mempunyai peralatan kecemasan langsung. Ia masih dilengkapi dengan peralatan CPR, tabung oksigen selain peralatan mudah alih lain untuk digunakan dalam kecemasan jika ada pesakit yang memerlukan bantuan. Biasanya kecemasan yang melibatkan masalah pernafasan dan kalau kecederaan pun yang kecil-kecil sahaja.

Perkhidmatan ambulan Dubai menyatakan yang tempoh masa bertindak mereka berjaya dikurangkan separuh dengan menggunakan kereta-kereta seperti ini.
Tapi penggunaan supercar dalam perkhidmatan ambulan bukan perkara baru di Dubai kerana sebelum ini mereka turut menggunakan sepasang Ford Mustang, Dodge Challenger dan Lotus Evora.

Pasukan polis Dubai pula memang selalu mengganti dan menambah supercar baru dalam koleksi mereka. Antaranya ialah Aston Martin One-77, Bugatti Veyron Grand Sport, Porsche 918 Spyder, Ferrari FF, Nissan GT-R, McLaren 12C, Lamborghini Aventador, BMW M6 Gran Coupe, Brabus G63 AMG, Audi R8 V10, Mercedes-Benz SLS 63 AMG dan banyak lagi.