ENGGAN BAYAR KOS BAGASI TAMBAHAN, MAKAN OREN 30KG. AKHIRNYA MULUT KENA ULSER
Empat orang lelaki terpaksa menderita mengalami ulser dalam mulut selepas memakan 30 kilogram oren dalam masa 30 minit.
Insiden yang membuatkan ramai ketawa dan menggelengkan kepala itu berlaku di sebuah lapangan terbang di Kunming, China dan tular di media sosial di negara itu.
Tindakan itu dibuat kerana mereka enggan untuk membayar kos bagasi tambahan sebanyak 300 yuan (sekitar RM188). Ia merupakan kos ke atas lebihan muatan yang dibenarkan bagi setiap penumpang pesawat.
Mereka dilapor perlu membayar 10 yuan (RM6.30) bagi setiap 1 kg oren yang dibawa. Walaupun begitu murah, mereka bagaimanapun memilih untuk memakan limau yang dibeli pada harga 50 yuan (RM31).
Tidak mahu membayar kos bagasi yang jauh lebih mahal daripada harga oren, mereka mengambil keputusan untuk menghabiskannya pada masa itu juga.
“Kami hanya berdiri di sama dan makan semua oren tersebut,” kata salah seorang lelaki berkenaan, Wang.
Mereka akhirnya mengalami ulser yang teruk, sehinggakan Wang berkata dia tidak mahu lagi makan oren selepas ini.