Buletin

KERETA MIKRO ELEKTRIK, MICROLINO 2.0 DIPERKENALKAN DI MALAYSIA – JARAK GERAK 228KM, 0-50KM/J 5 SAAT

Kereta mikro elektrik, Microlino 2.0 hari ini secara rasmi dipertontonkan untuk pasaran tempatan, menjadikan Malaysia negara pertama di Asia yang menerima pratonton model ini.

Microlino 2.0 ini hadir selepas penambahbaikan besar daripada versi 1.0 yang pernah berdepan isu undang-undang.

Ia menggunakan casis unibody pertama dalam segmennya, sistem suspensi MacPherson pada semua roda, serta rekaan retro moden berinspirasikan kereta gelembung era 1950-an seperti BMW Isetta.

Microlino 2.0 tampil dengan ringkas pada bahagian kabin, dilengkapi ciri-ciri seperti dua skrin digital (meter dan kawalan suhu), tanpa infotainmen terbina tetapi menyediakan palang aluminium untuk memasang telefon pintar atau pembesar suara Bluetooth.

Dari segi mekanikal, model ini dijana oleh bateri 15kWh dengan jarak gerak 228km (WLTP), motor elektrik belakang 17PS/17.9Nm, kelajuan maksimum 90 km/j dan pecutan 0–50km/j dalam 5 saat.

Pilihan bateri lain di pasaran luar ialah 5.5kWh (93km) dan 10.5kWh (177km). Semua model mengecas melalui AC 2.2kW dengan mengambil masa antara dua hingga 5.5 jam.

Perincian lain Microlino 2.0 adalah seperti berikut:

  • Berukuran 2,519mm panjang, 1,473mm lebar dan 1,501mm tinggi
  • Ruang but 230 liter
  • Berat 496–530 kg

Setakat ini hanya dua unit pacuan kiri didaftarkan, ditawarkan untuk sewaan melalui Flux pada kadar RM1,250 bagi lima hari.

Pengedar rasmi Go Daddy Motorsport Autotrader mengesahkan pelancaran tempatan dijadualkan suku pertama 2026, bergantung kepada kesinambungan insentif EV.

GALERI:

Google ads
Back to top button