Pandu Uji

KIA GRAND CARNIVAL 2024, 25.5 KILOMETER PER LITER. GILO WEHH

Sekitar setahun yang lepas, penulis telah memandu uji Kia Grand Carnival dalam varian 11 tempat duduk. Dengan panjang mencapai 5155mm dan lebar 1995mm ia adalah sebuah MPV yang cukup besar. Namun dengan 11 temapt duduk ia seperti sebuah kenderaan komersial dan bukannya sebuah MPV keluarga melainkan anda ada anak 9 orang

Dinamik Jaya turut menjual varian 8 tempat duduk dan juga 7 tempat duduk yang diisi dalam cesi dengan jarak antara roda 3090mm. Bagi penulis ia adalah pilihan yang lebih baik untuk kegunaan keluarga terutama bagi varian 2.2 7 Seater High yang dipasang dengan 2 kerusi kapten di bahagian tengah. Cukup mewah dan luas.

Secara jujurnya, penulis jarang sangat untuk menyukai sebuah MPV walaupun MPV ini lebih luas dan praktikal berbanding dengan SUV 7 tempat duduk. Keadaan ini disebabkan MPV datang dengan rekaan berkotak dan tinggi. Cesinya rasa terhuyung hayang sewaktu mengambil selekoh.

Tapi dengan Kia Grand Carnival, saiznya kelihatan gah disebabkan rekaan depan seperti meniru Jaguar Land Rover terutama pada rekaan lampu depan dan DRL. Untuk model kemaskini tahun 2024, ia dipasang dengan rim 19 inci yang lebih besar dan ranggi berwarna hitam berkilat.

Dari segi luaran memang susah untuk bezakan mana satu varian 11, 8 atau 7 tempat duduk. Anda kena buka pintu sisi dengan bantuan kuasa elektrik untuk mengetahuinya. Jika kusyen barisan kedua disusun dalam 2 tempat duduk kapten, maka ini adalah varian 7 tempat duduk.

Jika barisan kedua menggunakan tetapan 3 tempat duduk, mungkin ini ialah varian 8 tempat duduk. Varian 11 tempat duduk boleh dibezakan dengan penggunaan rim 18 inci aloi berkilat sahaja berbanding dengan rim 19 inci hitam berkilat

Bagi varian 7 dan 8 tempat duduk, ia ditawarkan dengan ruang kargo sebesar 627 liter lengkap dengan jaring jika anda bercadang untuk mengisi beg di belakang dari lantai rapat ke bumbung dengan ketinggian 1740mm. Kusyen barisan ketiga boleh ditanam dalam lantai bagi membesarkan ruang menjadi 1624 liter

Kalau semua semua dilipat, Kia Grand Carnival menawarkan sehingga 4110 liter kargo. Luas macam ambulan dah. Sebenarnya MPV ini menawarkan versatiliti yang cukup bagus dimana kusyen barisan kedua sebenarnya dipasang secara individual. Ia boleh ditarik ke depan, ke belakang, dan kusyen boleh disusun menghadap ke belakang

Bagi varian 7 tempat duduk pula, ia menawarkan kualiti perjalanan yang setara dengan Vellfire melalui ciri Premium Relaxation Mode. Dengan satu butang, kusyen akan berada dalam posisi paling rehat iaitu Gravity Mode yang sama seperti berada di angkasa lepas.

Memang best sebab lengkap dengan perehat kaki, sistem penyejukan terbina dalam dan kusyen. Penumpang juga boleh menikmati pemandangan melalui cermin panaromic di bahagian belakang. Secara jujurnya penulis rasakan kemewahan yang ditawarkan adalah setara atau melebihi Vellfire

Itu sahaja perbezaan antara varian 7 tempat duduk dengan 8 tempat duduk selain daripada lebih mahal sebanyak RM 14,000 pada harga RM 259,888. Dari segi sistem keselamatan, kedua dua varian lengkap dengan Adanced Safety Assist, berbanding dengan varian 11 tempat duduk yang “agak kosong”.

Sistem ini merangkumi High Beam Assist, Blind-Spot Collision Warning, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision-Avoidance Assist (AEB) dengan amaran simpang, Lane Following Assist, Smart Cruise Control (ACC) serta Blind View Monitor

Semua varian menggunakan enjin 2.2 turbodiesel SmartStream yang menjana 199 kuasa kuda dan 440Nm tork pada 1750 RPM. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan, yang bersambung terus dengan roda depan. Jika anda memandu dengan berhemah, anda mungkin boleh mendapat purata bacaan bahan api sekitar 15.4km/liter

Ia adalah angka yang boleh dipuji memandangkan berat MPV ini mencapai 2129kg. Tetapi ujian terbaru penulis mendapati MPV anak gajah ini berupaya memberikan bacaan sehingga 25.5km bagi setiap liter diesel B7 yang diisi, dengan syarat anda kekal pada halaju 120km/jam.

Sebenarnya agak susah untuk berdisiplin dengan kuasa enjin yang dihamburkan memandangkan MPV ini boleh pergi laju, sangat laju untuk sebuah MPV. Ia mungkin boleh mengikut rapat sebuah Volkswagen Golf GTi di laluan lurus. Apatah lagi Vellfire yang dikuasakan enjin 3.5 V6 yang boleh menjadi santapan mudah bagi Kia Grand Carnival

Anda boleh mengawal penukaran gear dengan menggunakan paddleshifter yang berada di belakang stering, cuma janganlah harap ia akan menukar gear seperti transmisi ZF 8 kelajuan yang digunakan pada BMW kerana ia tetap sebuah MPV

Oh ya dengan saiz yang besar dan berat melebihi 2 tan, janganlah anda mencuba aksi berani mati mengambil selekoh S pada halaju tinggi. Dari segi hukum Fizik, anda sukar untuk menentang inersia dan momentum yang terhasil di selekoh.

Jadi lebih baik anda bertenang sekejap di selekoh, kerana ia akan mengalami understeer jika terlalu laju. Lepaskan pedal minyak dan tekan sedikit pedal brek untuk meneutralkan keadaan. Brek cakera yang digunakan sangat membantu menjadikan Kia Grand Carnival ini lincah

Namun Kia Grand Carnival tetap sebuah MPV yang mewah dengan paparan skrin 12.3 inci dengan 12 pembesar suara BOSE, lengkap dengan sokongan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar, ciri pengecas tanpa wayar, dan juga paparan meter digital 12.3 inci

Susunan butang fizikal dikekalkan termasuklah suis gear rotari dengan hiasan yang menarik seperti berlian, butang kamera 360 darjah, dan juga butang penyaman udara. Kemewahan ini diserlahkan lagi dengan 7 poin USB, 2 soket 12 volt, cermin surian dan juga tirai hitam untuk privasi di barisan kedua serta ketiga

Jadi dengan harga RM 245,888 bagi varian 8 tempat duduk dan RM 259,888 bagi 7 tempat duduk Kia Grand Carnival ia adalah pilihan yang lebih murah bagi sebuah MPV baru koyak plastik berbanding dengan MPV Jepun terpakai atau baru yang mencecah harga RM 400,00.

Kia Grand Carnival lengkap dengan jaminan 5 tahun dan juga servis percuma sehingga 100,000km. Anda tak perlu pening kepala dengan kos servis, diberikan bonus dengan penggunaan tenaga yang efisyen, enjin berkuasa dan luas.

Google ads
Back to top button