
SPY SHOT: KTM 1390 SUPER DUKE GT 2025
Ketika KTM memperkenalkan KTM 1390 Super Duke R, kami sudah pun menjangkakan bahawa jenama motosikal Austria itu akan turut mengemas kini barisan model 1290 sedia ada dengan versi 1390 baharu.

Terbaru, KTM dilihat sedang giat menguji jentera KTM 1390 Super Duke GT baharu di Eropah.
Bagaimanapun, sebelum kami bercerita panjang ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan disini.
Pertamanya, walaupun membawa nama 1390 namun kapasiti enjin sebenar adalah 1,350cc sementara generasi sebelumnya, 1290 pula sebenarnya bersesaran 1,301cc. Ini bermakna dari 1290 kepada 1390 terdapat peningkatan kapasiti sebanyak 49cc dengan membesarkan ‘bore’ sebanyak 2mm dari 108 kepada 110mm.
Meskipun begitu, enjin V-Twin 1390 itu menawarkan peningkatan kuasa yang signifikan, dari 177hp kepada 190hp. Angka tinggi itu dicapai bukan hanya dengan sesaran enjin yang lebih besar malah disumbangkan sistem ‘variable valve timing’ yang beroperasi mirip seperti teknologi ShiftCam milik BMW.

Sistem ini akan menyelaraskan pembukaan injap mengikut kesesuaian yang ditentukan ECU. Perubahan injap itu meningkatkan ‘rev’ puncak dari 9,5000 kepada 10,000rpm dan meningkatkan tork dari 140 kepada 145Nm.
Dalam pada itu, KTM akhirnya mengguna pakai kerangka ‘tubular steel’ yang terdapat pada model 1290 Super Duke pasca 2020 dan bukan pra 2020 seperti sebelum ini. Kerangka terbaru itu tiga kali lebih tegar berbanding rekaan awal dan 2.2kg lebih ringan.
Bahagian subkerangka (subframe) juga dinaik taraf kepada jenis aluminium namun lebih unik agar dapat menampung pembonceng dan ‘panniers’. Selain itu, 1390 Super Duke GT ini juga didatangkan dengan ‘swingarm’ jenis ‘single-sided’.

Kelengkapan lain turut kelihatan adalah suspensi jenis elektronik separa aktif dari WP Apex yang terdapat pada model 1390 Super Duke R EVO. Brek Brembo Stylema juga dibawa dari Super Duke R generasi terbaru.
Reka bentuk keseluruhan pula dipinjamkan terus dari 1390 Super Duke R termasuk reka bentuk lampu hadapan yang ekstrem.
Melihat kepada rupa paras KTM 1390 Super Duke GT ini berada dalam keadaan siap sepenuhnya, kami jangkakan kilangMattighofen akan melancarkan model ini selewatnya hujung tahun ini.







