
KIA SORENTO DITAMBAH BAIK
Pengedar kenderaan jenama Kia di pasaran tempatan, Naza Kia Malaysia telah melancarkan Sorento generasi baharu sewaktu acara Hari Pelanggan Kia pada 16 dan 17 Mac lalu.
SUV itu merupakan model kedua yang diperkenalkan oleh Naza Kia Malaysia pada tahun ini selepas pelancaran Rio serba baharu Januari lepas.
Sorento kini tampil dengan rekaan lebih segar, selain ditambah dengan beberapa ciri mewah. Aspek pengendalian juga dipertingkat demi memberikan lebih keselesaan serta keselamatan.
“Sorento ini lebih daripada sekadar sebuah model facelift. SUV popular ini sekarang hadir bersama penambahbaikan dari aspek estetik pada bahagian dalaman dan luarannya. Suspensinya telah ditala semula untuk menawarkan kualiti pengendalian yang lebih mantap. Tubuhnya juga menggunakan kerangka lebih kukuh.
“2013 memberikan permulaan yang positif buat Naza Kia Malaysia. Dalam dua bulan pertama, kami sudah berjaya menjual 1,854 unit kenderaan, 12 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun 2012,” kata Ketua Pegawai Operasi Naza Kia Malaysia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar.
Naza Kia Malaysia mensasarkan untuk menjual 100 unit Sorento sebulan. Sekali gus membantu mencapai sasaran jualan 15,000 unit kenderaan Kia pada tahun ini.
Jentera pacuan semua roda (AWD) itu menerima 33 bentuk penambahbaikan. Justeru, ia akan diposisikan sebagai SUV premium. Bahagian hadapannya kini dilengkapi DRL LED, lampu kabus dengan lampu membelok statik untuk limpahan cahaya lebih baik ketika memandu pada waktu malam. Cermin sisi turut menjadi perumah kepada lampu isyarat membelok LED. Hendal pintu yang berwarna krom itu dipasang lampu kecil yang akan menyala apabila pemandu menghampiri kenderaan.
Bahagian belakang Sorento pula menyerlah dengan pintu dan lampu LED yang direka semula. Sebagai tambahan, ia juga hadir bersama rim aloi bersaiz 18 inci yang baru.
Ambien ruang kabin ditingkatkan melalui bumbung suria panoramik yang lebih lebar dan boleh dilipat pada bahagian hadapannya. Ia juga dilengkapi bidai yang digerakkan oleh motor.
Maklumat kenderaan dipaparkan menerusi paparan TFT (thin film transistor) berwarna bersaiz tujuh inci. Sementara sistem audionya terdiri daripada paparan LCD dengan skrin sentuh bersaiz 4.3 inci.
Sorento dikuasakan oleh unit enjin 2.4-litre DOHC dual continuous variable valve timing (DCVVT) Thetha II yang mampu menjana kuasa sehingga 176PS dan 227Nm tork. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan Manumatic.
Dari aspek keselamatan pula, ia dipasang dengan sistem Electronic Stability Control (ESC), Hill Assist Control (HAC), ABS, enam beg udara dan banyak lagi.
SUV yang didatangkan dalam empat warna iaitu putih, perak, kelabu dan coklat itu ditawarkan pada harga RM158,888 seunit , bersama jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.
[hr]
Galeri

















