
KIA SPORTAGE 1.6T AWD – PREMIUM MACAM CONTI???
Opposite United, itulah tema yang cuba dibawa melalui rekaan luar Kia Sportage generasi ke 5 yang baru dilancarkan oleh Kia pada akhir tahun lepas. Seingat penulis, rekaan yang cuba dibawa oleh Kia sebenarnya terasa sedikit berbeza dengan bahasa rekaan yang biasa digunakan oleh Peter Schereyer
Ini kerana rekaan Tiger Nose tidak begitu ketara namun didominasi dengan rekaan lampu yang menyerlah dan lain daripada biasa. Setelah semakan, barulah penulis perasan yang ini adalah rekaan terbaru daripada Karim Habib yang sebelum ini bertugas di BMW
Karim dibawa masuk oleh Peter bagi memberi inspirasi rekaan baru pada Kia. Maka timbullah falsafah baru yang dinamakan Opposite United, menggunakan falsafah alam semulajadi dalam rekaan luar dan pada masa yang sama rekaan tersebut mestilah “vibrant” berbanding dengan rekaan pesaing Kia

Dari segi saiz, disebabkan rekaan Opposite United ini maka Kia Sportage nampak seperti besar sedikit daripada HR-V. Namun dari segi ukuran ia datang dengan panjang 4660mm, lebar 1865mm dan jarak antara roda 2755mm, lebih panjang dari CR-V.
Penulis suka melihat penggayaan Kia Sportage dari bahagian belakang dan sisi, menggabungkan unsur mahal dan sport dalam satu tema dengan begitu baik sekali. Cuma bahagian rupa depan terasa sedikit sibuk dengan lampu LED DRL yang berbentuk Boomerang
Sebenarnya penulis lagi sukakan Kia Sportage 2025 yang telah menerima rekaan facelift yang baru, nampak lebih kemas seperti Kia EV9. Mungkin pada hemat penulis rekaan lama ini terlalu berani

Dari segi saiz, Sportage adalah SUV segmen C dengan ukuran ruang bagasi mencapai 543 liter dan boleh dibesarkan dengan melipat kusyen belakang bagi mencapai saiz sehingga 1829 liter. Varian AWD yang dipandu oleh penulis pula menggunakan rim aloi 18 inci dibalut dengan tayar 235/60 dan roof rail
Berbeza dengan rekaan dalaman SUV daripada China, Kia Sportage sekali lagi menampilkan rekaan yang tersendiri dengan mengetengahkan skrin Digital Instrumen Cluster bersaiz 12.3″ dalam 2 unit. Ia direka melengkung bagi memudahkan pemandu membaca semua maklumat yang diperlukan
Apa yang menarik ialah Kia terus menampilkan rekaan butang fizikal bagi unit penyaman udara, mode pemanduan, sistem parkir brek elektrik, sensor parkir, kamera 360 darjah, dan Hill Decent Control. Cluster suis digital penyaman udara pula boleh ditukar untuk mengawal sistem audio

Sistem audio menampil 8 pembesar suara Harman Kardon, sambungan Apple Car Play & Android Auto tanpa wayar ata sambungan USB Type A. Terdapat juga satu soket punca kuasa 12 volt selain perehat tangan untuk penumpang depan
Hanya kusyen pemandu sahaja yang diberikan ciri bantuan kuasa elektrik. Namun penumpang masih lagi diberikan ciri keselesaan lain seperti 3 poin mengecas di belakang kerusi penumpang depan yang senang dicapai, corong penyaman udara, perehat tangan, dan kusyen penyandar tempat duduk belakang yang boleh dilaras sehingga 12 pilihan
Bagi varian 1.6T, ia dipasang dengan enjin 1600cc Gamma T-GDI yang menjana 177 kuasa kuda dan 265Nm tork seawal 1500 RPM. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 7 kelajuan klac berkembar sebelum semua kuasa dihantar ke semua roda menerusi sistem AWD

Kawalan gear boleh dibuat menggunakan butang rotari Drive By Wire dan juga menerusi kawalan manual paddle shifter di belakang stering. Ada 4 pilihan mode pemanduan samaada Normal, Eco, Sport ataupun Smart dengan kebanyakan masa menggunakan mode Smart
Bagi varian yang dipandu uji oleh penulis, ia turut menawarkan ciri Hill Decent Control serta Lock Differential sekiranya Sportage perlu meredah keluar dari situasi pemanduan yang mencabar
Berikut ialah pemerhatian penulis semasa memandu uji Kia Sportage 1.6T selama beberapa hari.
1. Enjin & transmisi- varian turbo adalah varian yang paling berkuasa berbanding dengan varian 2000cc aspirasi normal yang ditawarkan dengan transmisi 6 kelajuan automatik. Namun dalam keadaan berhemah, penulis berupaya mencatatka purata penggunaan petrol sekitar 14.87km per liter petrol dengan halaju antara 110km/jam ke 130km/jam

Operasi enjin adalah sangat senyap ketika dihidupkan dengan mengeluarkan bunyi sekitar 45dB sahaja. Pada halaju 120km/jam, bacaan RPM adalah cukup santai sekitar 2100 RPM sahaja. Disebabkan minggu sebelumnya penulis sudah memandu laju, maka untuk Kia Sportage penulis memandu secara santai sahaja
Pada kebanyakan masa amat jarang sekali untuk mendengar operasi enjin dan juga transmisi melainkan ia diperah menghampiri 5000 RPM. Sistem trenkuasa DCT pula amat lancar pada halaju tinggi, namun nampaknya tidak begitu gemar beroperasi dalam keadaan kesesakan jalan raya
2. Stering – sewaktu memandu di lebuh raya, stering terasa agak berat, stabil dan meyakinkan untuk dipandu dengan laju. Namun jika anda memulakan perjalanan, operasi stering adalah sangat ringan dan boleh dipulas dengan jari sahaja

Ia mengambil sekitar 1.35 pusingan untuk “lock” ke kiri atau kanan, satu ratio yang biasa digunakan oleh SUV atau kereta sport. Operasi stering di lebuhraya cukup santai, manakala jika memandu di jalan persekutuan, ia cukup responsif untuk pemanduan yang sedikit agresif
Kelemahan stering ini ialah, Sportage memerlukan jejari pusingan yang lebih besar untuk melakukan pusingan U. Penulis terpaksa membuat 3 poin turn sewaktu membuat pusingan U di dalan yang sempit
3. Sistem suspensi – sebenarnya ia berkait rapat dengan suspensi yang dipasang pada cesi Sportage iaitu Multi-Link di roda belakang dan McPherson di roda depan. Jika sebelum ini Kia memang ada menggunakan suspensi yang sama, namun talaan kali ini nampaknya lebih halus dan seimbang berbanding dengan produk Kia 20 tahun lepas

Pada kebanyakan masa, talaan spring dan penyerap hentak direka supaya menyerap kecacatan permukaan jalan dengan baik terutama jika melalui jalan kampung Sportage akan menepis semua gangguan daripada memasuki kabin
Namun jika anda beraksi di selekoh, gandingan sistem AWD, stering dan talaan sistem suspensi bekerjasama dengan baik sekali. Olengan cesi dihadkan sebelum berat Sportage dipindahkan dari kiri ke kanan, belakang atau depan dengan sekata.
Anda boleh mengagak pergerakan cesi di selekoh dan bermain dengan Sportage bagi memberikan aksi yang cukup lincah, biarpun berat Sportage mencapai 1684kg. Salah satu aspek yang dikorbankan oleh Sportage untuk pengendalian ialah dengan mengurangkan jarak kelegaan permukaan jalan kepada 181mm. Setakat nak panjat curb jalan biasa masih lagi boleh dilakukan

4. Brek -Semua roda menggunakan brek cakera dengan roda hadapan mendapat cakera berliang untuk sejukan udara. Penulis berpendapat, talaan brek ditala untuk keselesaan dengan angkup brek akan menggigit cakera sedikit lembut. Anda perlu menekan pedal brek dengan agresif jika mahukan brek bertindak dengan agresif
5. Ergonomik – Rekaan kusyen yang ditawarkan datang dengan saiz badan Mat Saleh, jadi ia sebenarnya kurang memeluk terutama di selekoh walaupun masih terdapat ciri Bolster di kusyen penyandar. Sokongan belakang dan kaki adalah mencukupi, menawarkan keselesaan untuk memandu terus selama beberapa jam. Kalau ada ciri kipas penyejukan lagi bagus sebenarnya
6. Sistem multimedia -pada kebanyakan masa penulis akan menyambungkan telefon pintar dengan menggunakan Android Auto. Kualiti bunyi dari pembesar suara Harman Kardon yang ditawarkan adalah berbaloi dengan harga yang dipinta oleh Kia. Cuma Sportage tidak menawarkan ciri pengecas telefon tanpa wayar

7. Dalam aspek keselamatan, Kia Sportage dilengkapi dengan High Beam Assist, Blind Spot Warning & Collision Avoidance Assist, Blind Spot Monitor, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision-Avoidance Assist, dan Smart Cruise Control
Penulis sempat mencuba ciri Smart Cruise Control dan juga Lane Keep Assist serta Lane Follow Assist bagi membantu penulis kekal di lorong dalam halaju yang selamat. Sebenarnya penulis lagi suka lampu depan diberikan dengan ciri Adaptif
Pada harga RM 186,899 Kia Sportage menawarkan jaminan selama 5 tahun ata 100,000km dengan servis percuma selama 5 tahun menjadikan anda tidak perlu fikir berkenaan dengan kos penyelenggaraan selama 5 tahun pemilikan

Logo kenderaan mungkin memaparkan logo Kia, namun pengalaman pemanduan, pengendalian, dan keselesaan Kia Sportage adalah setara dengan jenama premium daripada Eropah. Jadi tidak harianlah kenapa Kia Sportage dinobatkan sebagai Family SUV of the Year daripada WhatCar pada tahun 2023 dan 2024