Buletin

KERAJAAN KAJI KEBERKESANAN CAJ KESESAKAN

Kerajaan sedang mengkaji keberkesanan caj kesesakan dalam mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata kajian itu antara lain bagi menilai keberkesanan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Ini kerana, katanya, hasil kajian dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad pada 2020, menunjukkan kerugian atas kesesakan jalan raya mencecah sehingga RM20 bilion pada ketika itu.

Beliau berkata, kajian caj kesesakan itu dilaksanakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

“Kajian ini membabitkan pelbagai aspek, termasuk kesan ekonomi kepada pengguna dan impak kepada pengangkutan awam dengan ia akan dibentangkan ke Jawatankuasa Kabinet Kesesakan Jalan

Raya untuk pertimbangan lanjut sebelum keputusan akhir dibuat.

“Bagaimanapun, dalam menangani isu kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur, penyediaan kepada ekosistem lengkap harus disediakan bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, kadar sewaan tapak bazar Ramadan di ibu negara ditetapkan pada kadar RM500 dengan cagaran RM200 yang akan dipulangkan jika tiada pelanggaran syarat lesen.

Katanya, ini bermakna penjaja hanya perlu membayar RM300 untuk satu petak bazar Ramadan, selain menyifatkannya berpatutan dan mampu dimiliki, terutama bagi peniaga kecil.

“Kadar ini juga agak rendah berbanding caj dikenakan di sesetengah tempat lain, terutama jika dikendalikan pihak swasta seperti yang masih berlaku di beberapa bandar di negeri lain.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga menjalin kerjasama strategik dengan Bank Muamalat yang menanggung kos khemah di semua lokasi bazar Ramadan di Kuala Lumpur, memberikan manfaat tambahan kepada peniaga.

“Penawaran tapak bazar pula dibuat berdasarkan permohonan dan kaedah cabutan undi bagi kawasan yang permohonannya melebihi jumlah tapak ditawarkan bagi memastikan peluang adil kepada peniaga kecil,” katanya.

Mengenai isu penamatan kontrak tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kelayakan setara, Dr Zaliha berkata, tiada arahan dikeluarkan kerajaan untuk tujuan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata, pengurusan kontrak pegawai lantikan kontrak (CoS) adalah berasaskan keperluan perkhidmatan semasa serta persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.

“Dakwaan menyatakan seramai 30,000 kakitangan perkhidmatan awam tidak memiliki SPM akan ditamatkan perkhidmatan adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Pegawai berkhidmat sekurang-kurangnya enam tahun, tempoh perkhidmatan mereka boleh diambil kira untuk menggantikan kelayakan SPM bagi pegawai tetap, namun bagi pegawai lantikan

kontrak, tempoh perkhidmatan mereka tidak boleh diambil kira untuk menggantikan kelayakan SPM.

“Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Awam, kelulusan lantikan kontrak di bawah peruntukan OS29000 pada 2024 bagi kakitangan tidak memiliki SPM adalah seramai 2,037 orang,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button