KONTENA JATUH DARI TRELER HEMPAP PERODUA BEZZA, SEORANG WANITA MAUT
Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera selepas kenderaan dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan Bukit Tengah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.16 pagi itu, mangsa, Lee Zi Rou, 21, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, Mohd Nor Azamuddin Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung nahas berkenaan.
“Sebaik tiba didapati kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu tiga kereta dan dua lori termasuk sebuah treler.
“Terdapat dua mangsa tersepit akibat terhempap kontena terbalik.
“Mangsa lelaki berusia 25 tahun dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala mangsa wanita yang tersepit kita menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Nor Azamuddin berkata, wanita itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang berada di lokasi.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Bomba kemudian menjalankan kerja pengalihan kontena yang terjatuh dengan menggunakan dua kren sebelum menamatkan operasi berkenaan,” katanya.
Terdahulu tular video dan beberapa gambar memaparkan deretan kenderaan yang berada di persimpangan lampu isyarat Jalan Persekutuan di Bukit Tengah di sini, dikejutkan dengan insiden kontena terjatuh dari sebuah treler sehingga menyebabkan seorang terbunuh manakala seorang lagi cedera.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka dari sebuah kenderaan mendapati pemandu treler membelok sebelum kontena dibawanya terbalik dan menimpa beberapa kenderaan yang sedang menunggu di lampu isyarat terbabit.
Difahamkan, mangsa yang maut dalam perjalanan ke tempat kerja dan memandu kenderaan itu seorang diri. – Harian Metro