Buletin

LAND ROVER DEFENDER V8 TIBA DI PASARAN MALAYSIA – JANA 525PS, HARGA BERMULA RM998K

Jaguar Land Rover Malaysia baru-baru ini telah membawa masuk satu lagi tambahan yang mengujakan untuk pasaran tempatan iaitu model Defender V8.

Direka untuk mereka yang dahagakan kuasa dan gaya, Defender V8 ditawarkan dalam dua versi iaitu Defender 110 V8 dan Defender 130 V8.

Land Rover mengekalkan DNA ikonik Defender namun memberi sentuhan moden dari segi kejuruteraan dan teknologi.

Ciri praktikal turut menjadi tarikan utama. Defender 110 V8 dilengkapi tempat duduk belakang boleh lipat 40:20:40 lengkap dengan pemanas dan perehat tangan tengah, sementara Defender 130 V8 menawarkan susun atur 60:40 dengan keupayaan larasan manual serta konfigurasi lipatan yang fleksibel.

Versi 130 juga mampu membawa sehingga lapan penumpang, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga besar atau ekspedisi jauh.

Kedua-dua varian ini dibina untuk prestasi mantap di atas jalan raya dan medan mencabar. Defender 110 V8 dikuasakan oleh enjin 5.0L V8 supercharged yang mampu menjana 525PS dan 625Nm tork, membolehkannya memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 5.4 saat.

Manakala Defender 130 V8 pula menghasilkan 500PS dan 610Nm tork, dengan keupayaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.

Apa yang membezakan Defender V8 bukan sahaja prestasinya, malah bunyinya – menerusi sistem ekzos empat paip yang dipasang di bahagian luar.

Untuk harga, Defender 110 V8 ditawarkan pada harga bermula RM998,000 manakala Defender 130 V8 dari RM1.198 juta – harga ini adalah bebas cukai.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut termasuk harga termasuk cukai atau untuk membuat tempahan, pelanggan boleh menghubungi Jaguar Land Rover Malaysia di Ara Damansara (+603-7651 2000) atau layari laman rasmi Land Rover Malaysia.

GALERI:

Google ads
Back to top button