
CFMOTO 750SR-R BAKAL DILENGKAPI DENGAN KIT AERO – 110HP, 213KG
Tahun 2025 menyaksikan segmen supersport kembali popular dengan beberapa model baharu mula diperkenalkan untuk pasaran global.
Yamaha membariskan YZF-R7 dan R9 kemudian Ducati memperkenalkan Panigale V2. Sebelum itu, Triumph turut mengambil pendekatan sama dengan pelancaran Daytona 660.
Beberapa pengeluar lain terlebih dahulu memperkenalkan model supersport generasi baharu antaranya Honda dengan CBR650R dan Aprilia dengan RS 660.

Kesemua model ini merupakan langkah baharu dalam mengetengahakan segmen supersport yang lebih praktikal dan selesa namun masih menawarkan pengalaman menunggang yang sporty. CFMoto turut menyerti segmen ini dengan pelancaran 675SR-R serta 500SR VOOM.
Bagaimanapun, pengeluar motosikal dari China itu bakal memperkembangkan tawaran dengan 750SR-R tidak lama lagi setelah nama model itu didaftarkan di China, tahun lalu.

Berdasarkan perkembangan terbaru, CFMoto telah pun memfailkan paten terkini yang mendedahkan 750SR-R akan dilengkapi dengan kit aero bagi tayar belakang. Selain itu, CFMoto turut mendedahkan warna kedua bagi model ini yang serba hitam berbanding kelabu seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Menariknya, aero tersebut bukanlah sekadar ciri kosmetik sebaliknya menyumbang kepada aerodinamik keseluruhan jentera. Dokumen tersebut mendakwa kit aero itu menawarkan pengudaraan yang lebih baik selain mengurangkan geseran angin dan meningkatkan kestabilan jentera.

Dalam pada itu, 750SR-R akan dipacu enjin empat silinder 749cc dengan ukuran bore dan stroke 72mm x 46mm sekaligus mirip jentera 750cc ikonik seperti Suzuki GSX-R750 dan Yamaha YZF750R.
CFMoto 750SR-R ini dijangka akan membuat debut global selewatnya tahun ini sekaligus akan menyertai 250SR, 450SR, 500SR VOOM dan 675SR-R.