
TEMPAHAN HONDA e:N1 KINI DIBUKA – TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 500KM, LANCAR SUKU KEDUA 2025
Honda Malaysia kini secara rasmi membuka tempahan bagi model kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama mereka, e:N1.
Pelancaran dijadualkan berlangsung pada suku kedua tahun 2025 dan menandakan satu langkah penting dalam perjalanan elektrifikasi jenama ini di Malaysia.
Dengan e:N1, Honda bukan sekadar memperkenalkan kenderaan mesra alam, tetapi turut menawarkan pengalaman pemanduan yang menepati cita rasa peminat setia jenama ini.
Dibina berasaskan platform pacuan roda hadapan baharu yang dikenali sebagai e:N Architecture F, e:N1 direka untuk memberikan pecutan lancar serta kawalan mantap di pelbagai keadaan jalan.

Reka bentuk e:N1 menonjol dengan lampu utama LED penuh, lampu belakang LED bergaya serta rim aloi dua tona bersaiz 18-inci yang eksklusif untuk model BEV Honda.
Port pengecasan AC dan DC pula direka kemas di bahagian hadapan dengan indikator pengecasan terletak di atas gril, memudahkan pengguna memantau proses pengecasan.
Satu ciri unik pada e:N1 ialah penggunaan logo “H” berwarna putih yang menjadi simbol kepada barisan kenderaan elektrik Honda. Lambang ini boleh dilihat pada pelbagai bahagian seperti kunci pintar, stereng, penutup port pengecasan depan dan penutup rim tengah.
Di belakang pula, huruf “Honda” dengan gaya tipografi baharu memberikan sentuhan premium pada penampilannya.

Bagi dimensinya, e:N1 mempunyai panjang 4,380mm, jarak antara roda 2,610mm dan tinggi 1,592mm .
Dilengkapi motor elektrik berprestasi tinggi, bateri lithium-ion berkapasiti 68.8kWh, dan struktur badan teguh khas untuk EV, e:N1 mampu menjana kuasa maksimum 150kW dan tork 310Nm.
Dengan satu cas penuh, ia mampu menjangkau jarak pemanduan sehingga 500km (NEDC).
Soal keselamatan, model ini dilengkapi sistem Honda SENSING yang menawarkan sembilan fungsi bantuan pemandu canggih, serta Blind Spot Information (BSI) dan Cross Traffic Monitor (CTM).
Bagi memberi sokongan jualan dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan e:N1, Honda Malaysia telah melantik lapan pengedar bertauliah di tiga wilayah utama untuk menangani pertanyaan berkaitan model ini.
Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan secara dalam talian di laman web https://prebook.honda.com.my atau melalui aplikasi HondaTouch.