BuletinMotosikal

“LAUNCH CONTROL KTM ROSAK, DASHBOARD MENGELIRUKAN” – HAFIZH SYAHRIN.

Dalam perlumbaan MotoGP untuk separuh musim kedua di Litar Brno, Republik Czech semalam, pelumba jentera KTM nampak konsisten.

Selepas sesi kelayakan, Zarco membuat kejutan dengan bermula di petak ketiga, Espargaro di petak ke lima dan Oliveira di petak ke 16 bersama Hafizh di petak ke 21.

Namun sebaik pelumbaan dilepaskan, Zarco menjunam pada kedudukan 13 hanya dalam beberapa pusingan awal. Pun begitu rakan sepasukannya, Espargaro dapat bertahan di dalam kelompok 10 teratas.

Lebih malang lagi bagi pelumba negara, Hafizh Syahrin dari pasukan satelit KTM Tech 3, hilang kawalan dan terjatuh pada lap ke-10.

“Saya sangat kecewa. Ia perlumbaan yang bagus sebenarnya. Saya berasa yakin dan hanya saya bersama tiga pelumba lain yang memilih tayar ‘hard’ untuk roda depan.

“Tapi tak tahu apa yang tak kena, jentera saya hilang cengkaman roda depan,” Ujar Hafizh.

“Masa permulaan juga agak susah sebab saya dah letakkan talaan pada launch control, tapi ia tak berfungsi. Paparan dashboard juga mengelirukan. Saya terpaksa mula tanpa launch control dan ia memang susah.

“Saya cuba yang terbaik, pada lap pertama saya yakin dapat rentak semula. Menjelang lap kedua, saya dapat kejar kelompok depan.

“Saya dapat masuk ke kelompok hadapan dan dapat kedudukan ke-15. Kemudian saya yakin mampu untuk pintas Espargaro, tapi saya cuba pintas Vinales dulu dan tarik motosikal ke tepi mencari ruang sikit, dan tiba-tiba motor hilang kawalan dan saya terbabas.

“Tapi itulah perlumbaan. Saya minta maaf pada semua orang. Saya akan fokus pada latihan esok dan kembali untuk MotoGP di negara KTM nanti.”

Tags
Google ads
Back to top button