Buletin

LEAPMOTOR C10 2025 KINI LEBIH PRAKTIKAL, PENUH GAYA – HARGA BERMULA RM125K

Sempena sambutan Hari Bapa dan kejayaan Leapmotor sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) yang paling pesat berkembang di China, Leapmotor Malaysia memperkenalkan versi terkini model SUV elektrik popular mereka, Leapmotor C10, pada harga mampu milik RM125,000.

Model tahun 2025 ini hadir dengan pelbagai penambahbaikan dari segi praktikaliti, teknologi pengecasan, dan keselesaan dalaman, menjadikannya antara pilihan paling menarik dalam segmen EV tempatan ketika ini.

Bermula Jun 2025, Leapmotor C10 2025 boleh didapati di bilik pameran seluruh negara dengan beberapa penambahan penting.

Antaranya termasuk ruang simpanan tambahan berkapasiti 32 liter di hadapan kenderaan (frunk), sesuai untuk barang keperluan harian atau barangan kecil, serta penutup ruang but bagi melindungi barangan berharga daripada pandangan luar.

Kecekapan pengecasan turut ditingkatkan dengan penggantian pengecas dalaman dari 6.6kW kepada unit baharu 11kW.

Hasilnya, masa pengecasan dari 30% ke 80% dipendekkan daripada enam jam kepada hanya empat jam, memudahkan lagi rutin harian pengguna EV.

Lebih menarik, C10 kini dilengkapi Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (Direct TPMS) yang memaparkan bacaan tekanan tayar secara langsung, dan pam tayar automatik bagi kecemasan di jalan raya.

Bahagian dalaman Leapmotor C10 turut menerima sentuhan baharu. Warna dalaman kini disesuaikan dengan warna luaran: model berwarna Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey akan didatangkan dengan tema dalaman hitam menggantikan Midnight Aurora, manakala pilihan Glazed Green kini tampil dengan dalaman Camel Brown, menggantikan Criollo Brown.

Semua tempat duduk menggunakan fabrik silikon mesra bayi yang mematuhi piawaian OEKO-Tex Standard 100®.

Leapmotor C10 bukan sahaja memikat dari segi reka bentuk – yang telah memenangi anugerah reka bentuk antarabangsa seperti International CMF Design dan US Muse Design Awards, malah turut menawarkan pengalaman pemanduan dinamik hasil talaan sistem dinamik oleh Maserati.

Dikuasakan oleh bateri LFP berkapasiti 69.9kWh, SUV ini mampu menghasilkan 214hp dengan jarak pemanduan sehingga 424km (mengikut piawaian WLTP), sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Ditawarkan dengan harga serendah RM125,000, Leapmotor C10 memberikan nilai hebat dengan ciri-ciri segmen-D pada harga segmen-C.

Pembelian termasuk jaminan selama enam tahun atau 150,000km (mana-mana yang terdahulu), dan jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000km.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan pandu uji di pengedar Leapmotor terdekat atau layari laman web rasmi www.leapmotor-international.com.my untuk maklumat lanjut.

Perkembangan berkaitan, Leapmotor meraikan kejayaan sebagai jenama EV paling pesat berkembang di China, dengan jualan sebanyak 173,658 unit dalam tempoh Januari hingga Mei 2025.

Ini mengukuhkan lagi keyakinan pengguna terhadap kualiti dan inovasi yang ditawarkan oleh jenama ini.

GALERI:

Google ads
Back to top button