
JETOUR T2 i-DM DILANCARKAN – JARAK GERAK HINGGA 1,200KM, HARGA MULA RM162K
JETOUR Malaysia secara rasmi melancarkan JETOUR T2 i-DM, sebuah SUV hibrid plug-in (PHEV) yang menggabungkan teknologi elektrifikasi moden dengan reka bentuk lasak untuk kegunaan harian dan pengembaraan.
Model ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter TGDi yang dipadankan dengan transmisi hibrid khusus tiga kelajuan serta sistem motor elektrik berkembar.
Gabungan itu menghasilkan kuasa maksimum 265kW dan tork setinggi 610Nm, selain menawarkan jarak pemanduan gabungan sehingga 1,200 kilometer dan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya melebihi 100 kilometer.
Sistem Intelligent Dual-Mode (i-DM) yang digunakan membolehkan kenderaan beralih secara automatik antara kuasa elektrik dan hibrid mengikut keadaan pemanduan.

Ia merangkumi mod EV Drive untuk perjalanan jarak dekat dan kelajuan rendah, Series Hybrid ketika trafik bandar, Dual Power Boost semasa memotong atau mendaki, Parallel Hybrid untuk pemanduan lebuh raya serta sistem regenerative braking yang menukar tenaga kinetik kepada tenaga elektrik ketika membrek atau menuruni bukit.
Dari segi bateri, T2 i-DM menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 18.4kWh yang dilengkapi perlindungan air dan habuk IP68, sarung bateri berketahanan tinggi, perlindungan bahagian bawah kenderaan serta sistem pemutusan kuasa voltan tinggi yang pantas.
SUV ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3.3kW bagi membolehkan peranti luaran menggunakan bekalan kuasa daripada kenderaan.
Bagi pengecasan, model ini menyokong pengecasan pantas DC 57kW yang mampu mengecas bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam masa kurang daripada 27 minit.

Ia turut menyokong pengecasan AC 6.6kW menggunakan wallbox yang memerlukan kurang tiga jam untuk mencapai 100 peratus, selain pengecas mudah alih AC 2.2kW, di mana ia memerlukan kurang enam jam bagi tahap pengecasan sama.
Dari segi penampilan, T2 i-DM mengekalkan identiti SUV pengembaraan dengan lampu hadapan Auto LED bersama logo bercahaya “JETOUR”, rim aloi Trailblazer 20-inci, fungsi Door Mirrors Reversing Mode serta tayar simpanan yang dipasang di belakang dan dilengkapi Electric Suction Back Door.
Ruang kabin pula menampilkan paparan infotainmen bersaiz 15.6-inci, sistem audio premium Sony dengan 12 pembesar suara, pengecas telefon tanpa wayar 50W, tempat duduk hadapan berpengudaraan dengan fungsi memori dan Welcome Function, tombol gear kristal bercahaya, cermin pandang belakang Auto Dimming serta pencahayaan ambien pelbagai warna.

Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi sistem ADAS Tahap 2 yang merangkumi;
- Autonomous Emergency Braking (AEB)
- Lane Assist Intervention (LAI)
- Blind Spot Detection (BSD)
- Integrated Cruise Assist (ICA)
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- Intelligent High Beam (IHB)
Ia turut dilengkapi enam beg udara SRS, struktur badan menggunakan keluli berketahanan tinggi, Panoramic View Monitoring System dan Tyre Pressure Monitoring System.
JETOUR T2 i-DM ditawarkan pada harga RM162,800. Bagi 2,000 pelanggan terawal, syarikat menawarkan pakej Early Bird bernilai sehingga RM3,000 sama ada dalam bentuk wallbox AC 7kW percuma bersama pemasangan atau kredit pengecasan ChargeSini bernilai RM2,000. Kedua-dua pilihan turut disertakan kabel penyesuai V2L percuma.
Pemilik turut menikmati waranti kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000km, waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000km, waranti enjin sehingga 10 tahun atau 1,000,000km serta lima sesi penyelenggaraan percuma.
GALERI:















