
BMW M3 EV DRIFT DI NURBURGRING, XIAOMI SU7 KEJAR RAPAT
BMW M3 bakal memasuki satu era baharu apabila generasi akan datang model berprestasi tinggi itu turut ditawarkan dalam versi serba elektrik. Terbaharu, prototaip BMW M3 EV dikesan menjalani ujian di litar Nürburgring, Jerman, dan sesi ujian tersebut menjadi lebih menarik apabila sebuah Xiaomi SU7 Ultra muncul di belakangnya.
Dalam rakaman yang diperoleh ketika sesi ujian berkenaan, prototaip BMW M3 EV yang masih dilindungi pelitup samasan dilihat dipandu dengan agak agresif di Nordschleife. Ketika keluar dari satu selekoh, kereta tersebut turut melakukan gelinciran terkawal sehingga menghasilkan dua jalur tayar yang jelas di atas permukaan litar.
Situasi itu dipercayai berlaku ketika BMW sedang menguji tahap keupayaan dinamik prototaip tersebut, dengan sebuah Xiaomi SU7 Ultra berwarna kuning kelihatan mengejar beberapa jarak kereta di belakang. Kehadiran SU7 Ultra dengan kuasa lebih 1,500 PS itu menjadikan sesi ujian tersebut kelihatan seperti satu perlumbaan tidak rasmi antara dua sedan elektrik berprestasi tinggi.
Xiaomi SU7 Ultra diketahui mempunyai output setinggi 1,547 PS atau 1,526 hp, bersama kuasa maksimum 1,138 kW. Model tersebut sebelum ini mencatatkan masa 7 minit 4.96 saat di Nürburgring pada 2025 untuk versi produksi.
Bagaimanapun, rekod tersebut kemudiannya dipintas oleh beberapa model lain, termasuk Porsche Taycan Turbo GT dengan Manthey Kit serta Yangwang U9 Extreme. Sehingga kini, BMW masih belum mendedahkan angka kuasa rasmi untuk M3 EV produksi, namun pendekatan yang digunakan oleh BMW M menunjukkan bahawa fokus utama model ini adalah pada pengendalian, ketangkasan dan kawalan kuasa.

Prototaip M3 EV tersebut menggunakan sistem pacuan empat motor elektrik, dengan setiap motor bertanggungjawab mengawal roda secara individu. Sistem ini membolehkan kereta beroperasi dalam konfigurasi pacuan roda belakang atau pacuan semua roda, selain menyediakan kawalan torque vectoring yang jauh lebih terperinci berbanding sistem pacuan biasa.
BMW M sebelum ini menjelaskan bahawa sistem empat motor tersebut dibangunkan khusus untuk menghasilkan tahap kawalan daya kilas yang sangat pantas. Kuasa kepada setiap roda boleh diubah secara individu tanpa kelewatan mekanikal, membolehkan kereta memperlahankan atau mempercepatkan putaran roda tertentu ketika mengambil selekoh. BMW menyifatkan teknologi ini sebagai satu lonjakan baharu dalam dinamik pemanduan model M.
BMW M juga sudah menguji teknologi berkenaan secara intensif di Nürburgring. Menurut BMW, setiap model M perlu menjalani kira-kira 8,000 km ujian di Nordschleife, yang menjadi salah satu medan utama untuk menguji ketahanan serta talaan casis dan sistem pacuan.
Dengan empat motor elektrik, sistem torque vectoring dan kawalan kuasa pada setiap roda, M3 EV dijangka mampu masuk ke selekoh dengan lebih pantas, membrek lebih lewat dan membuka pendikit lebih awal ketika keluar dari selekoh. BMW turut terpaksa membangunkan semula beberapa komponen casis dan sistem suspensi bagi menampung tahap daya dinamik yang lebih tinggi daripada sistem pacuan elektrik tersebut.
Dari segi kuasa pula, BMW nampaknya tidak berminat untuk mengejar angka empat digit seperti Xiaomi SU7 Ultra. Prototaip Vision Driving Experience yang diperkenalkan BMW pada 2025 dilaporkan mempunyai kuasa sekitar 1,360 PS, tetapi bos BMW M, Frank van Meel, sebelum ini menjelaskan bahawa kuasa sekitar 1,000 hp tidak semestinya masuk akal untuk kereta jalan raya kerana ia boleh menjadi terlalu sukar dikawal.
Oleh itu, versi produksi M3 EV dijangka menggunakan angka kuasa yang lebih rendah, dengan tumpuan diberikan kepada nisbah kuasa, kawalan casis dan kemampuan mengambil selekoh. Angka sekitar 800 PS pernah disebut sebagai kemungkinan untuk model tersebut, namun BMW masih belum mengesahkan spesifikasi akhir.
Pendekatan ini juga selari dengan falsafah M3 sejak generasi awalnya. M3 generasi E30 tidak mempunyai angka kuasa yang luar biasa mengikut standard hari ini, tetapi saiz yang kompak, berat yang lebih rendah dan casis yang lincah menjadikannya antara model yang sangat menyeronokkan untuk dipandu.
M3 EV pula akan mempunyai cabaran yang berbeza kerana sistem bateri dan motor elektrik menyebabkan berat keseluruhan kereta meningkat. Justeru, BMW M nampaknya mahu memastikan pertambahan berat tersebut diimbangi dengan sistem kawalan casis dan torque vectoring yang lebih canggih.
BMW juga dijangka mengekalkan M3 dengan enjin pembakaran dalaman untuk generasi akan datang. Ini bermakna M3 EV bukan semestinya menggantikan terus versi berkuasa petrol, sebaliknya kedua-dua konfigurasi kuasa dijangka wujud secara serentak bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.
M3 EV dijangka diperkenalkan sebagai sebahagian daripada generasi baharu BMW M berasaskan teknologi Neue Klasse, dengan pelancaran versi produksi dijangka sekitar 2028. Buat masa ini, BMW masih merahsiakan angka kuasa, kapasiti bateri, berat dan prestasi rasmi model tersebut.







