Buletin

LEBUH RAYA PAN BORNEO JAJARAN JULAU DIBUKA PADA NOVEMBER 2021

Lebuh Raya Pan Borneo bagi jajaran Julau dijangka dibuka secara rasminya pada November ini, jelas Pengurus Projek Pakej Kontrak Kerja 07 (WPC07) Pejabat Zon Tengah, Unit Lebuh Raya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya Sarawak, SyahruI Ismadi Ismail.

Jajaran yang bermula dari KM1+500 selepas Simpang KJD dan Institut Perguruan Rajang hingga ke KM28+500 sebelum Jambatan Sungai Jikang itu kini di fasa akhir untuk mendapatkan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC).

“Jajaran ini merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang telah siap dibina. CPC akan dikeluarkan kepada kontraktor utama tidak lama lagi,” katanya sambil menambah laluan empat lorong dua hala telah dibuka sepenuhnya kepada orang awam pada 20 Okt lepas.

Kerja-kerja pembinaan jajaran Julau bermula pada 16 Sept 2016. Manakala kerja-kerja menanam cerucuk untuk jejambat persimpangan Julau bermula pada Jun 2017.

Justeru, Syahrul Ismadi menasihatkan pengguna lebuh raya itu supaya berhati-hati semasa memandu di laluan berkenaan dan mematuhi segala arahan papan tanda serta peralatan trafik yang dipasang, khususnya penggunaan pusingan-U yang telah disediakan di beberapa lokasi demi keselamatan mereka.

“Jajaran Julau merupakan satu daripada tiga jajaran di bawah Pakej Kontrak Kerja 07 yang meliputi kerja-kerja pembinaan jalan dari Persimpangan Bintangor ke Persimpangan Julau. Sementara dua lagi jajaran ialah jajaran Sibu iaitu dari Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Kua dan jajaran Batang Rajang (Jambatan Batang Rajang) yang telah dianugerahkan CPC pada Oktober tahun lepas,” katanya.

Penjanaan sistem lampu isyarat di persimpangan Julau dijangka dapat memudah dan meningkatkan tahap keselamatan penggunaan lebuh raya itu.

Jajaran tersebut sememangnya telah lama dinanti-nantikan oleh penduduk di kawasan berhampiran. – BERNAMA

Google ads
Back to top button