Buletin

BIARPUN HARGA BERMULA RM614K, TESLA LAKU KERAS DI SINGAPURA. JUALAN MELONJAK 10 KALI GANDA

Singapura memang sudah lama terkenal dengan harga keretanya yang mahal. Namun, ia nyata tidak menghalang republik itu menyaksikan peningkatan ketara jualan kereta elektrik Tesla. 

Di sana, model asas Tesla Model 3 ditawarkan pada harga S$200,000 (RM614,645) berikutan pelbagai cukai dan levi pelikikan yang dikenakan oleh kerajaan. Namun, harga tersebut tidak menghalang warga Singapura untuk membelinya. 

Buktinya, jumlah Tesla di jalan raya di Singapura melonjak lebih 10 kali ganda kepada 487 unit pada suku ketiga tahun ini, daripada hanya 30 unit pada Q1, jelas data Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura. 

“Saya beli kereta Tesla kerana saya ialah penyokong dan pemegang saham syarikat tersebut,” kata jurutera perisian, Tim Shim yang telah menempah Model 3 sejak lima tahun lalu, tetapi baru menerimanya. 

Dibantu oleh peminat Tesla seperti Shim, pengeluar EV itu menjadi jenama kereta keenam paling popular di Singapura, mengalahkan Nissan, Audi dan Kia pada September. 

Penganalisis menyatakan tidak ada sebab khusus yang menyebabkan peningkatan jualan itu, biarpun kerajaan Singapura ada mengumumkan subsidi sebanyak S$45,000 (RM138,285) untuk pembeli kereta elektrik. Tetapi, lonjakan itu lebih kepada keupayaan Tesla menangani masalah rantaian bekalan dengan lebih baik berbanding pengeluar lain. 

Bulan lalu sahaja, 314 unit Tesla telah didaftarkan, hampir sama dengan model Hyundai serta mengikuti rapat jenama Toyota dan Honda. Pembeli juga perlu menunggu di antara emat hingga 12 minggu untuk menerima kereta masing-masing. 

Andy Seo yang beralih daripada Volvo kepada Tesla mendakwa kereta Tesla lebih murah untuk dibiaya berbanding sedan jenama Eropah seperti BMW dan Mercedes-Benz. 

Biarpun begitu, penganalisis meramalkan keterujaan terhadap Tesla akan malap apabila lebih banyak kereta elektrik ditawarkan kelak. Mereka bagaimanapun tidak menafikan Tesla menjadi pemangkin kepada peralihan ke EV. 

Singapura merancang untuk menghentkan jualan semua kereta pembakaran dalaman menjelang tahun 2040. Pihak berkuasanya akan menggalakkan pemilikan EV menerusi lebih banyak pengecualian cukai dan subsidi.  – Reuters

Google ads
Back to top button