
LELAKI & 2 KANAK-KANAK MATI TERBAKAR DALAM TESLA – PINTU GAGAL DIBUKA
Seorang pemandu Tesla dan dua orang kanak-kanak terbakar hidup-hidup selepas kereta Tesla mereka terbakar sebaik sahaja merempuh sebatang pokok. Tapi apa yang menyakitkan hati ialah penyelamat gagal membuka pintu elektronik, menurut laporan pihak polis.
Kereta itu meletup dalam kebakaran di Jerman pada 7 September, mengorbankan seorang lelaki berusia 43 tahun serta dua orang kanak-kanak berusia 9 tahun di dalamnya, lapor media Jerman. Kejadian ini berlaku hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa AS menyuarakan kebimbangan tentang pemegang pintu Tesla yang boleh menjadi tidak berfungsi selepas kemalangan atau sewaktu kecemasan
Seorang lagi kanak-kanak, juga berusia 9 tahun, berjaya keluar dan segera dikejarkan ke hospital dengan helikopter, kata pihak polis Jerman.
Roman Jedrzejewski, pemilik sebuah bengkel cat berhadapan lokasi kejadian, berkata dia berlari untuk membantu tetapi gagal menyelamatkan tiga mangsa di dalam kereta. “Saya terus mencapai alat pemadam api dan terus berlari ke tempat kejadian. Tapiia tidak membantu,” katanya kepada Ruhr News.
“Saya benar-benar mahu selamatkan mereka,” tambahnya. “Saya cuba buka kereta, tapi tidak berjaya juga. Api sudah menjadi terlalu panas, walaupun bahagian kanan kereta masih tidak terjejas.”
Kereta Tesla mempunyai pintu elektronik yang dibuka dengan menekan butang, bukan menarik pemegang kerana pemegangnya jenis boleh masuk ke dalam (retractable).
Namun dalam kemalangan, kuasa elektrik kereta boleh terputus, menyebabkan pintu tidak dapat digunakan. Kenderaan Tesla memang diberikan ciri tuas manual untuk membuka pintu dari dalam, tetapi kanak-kanak mungkin tidak tahu cara mengakses atau menggunakannya walaupun pemandu sedar kewujudannya.
Persatuan automobil Jerman, Allgemeiner Deutscher Automobil-Club, pernah memberi amaran kepada pemandu pada April 2024 bahawa pemegang pintu jenis retractable boleh menjadi risiko keselamatan.
Malah minggu lalu, National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) di AS mengumumkan bahawa mereka membuka siasatan terhadap kira-kira 174,000 unit Tesla Model Y tahun keluaran 2021 susulan laporan bahawa pemegang pintu elektronik boleh menjadi tidak berfungsi.