Buletin

LELAKI TERKAYA SWITZERLAND BELI 3.4% SAHAM ASTON MARTIN

Lelaki paling kaya di Switzerland, Ernesto Bertarelli, 54, dilapor telah membeli 3.4 peratus saham dalam Aston Martin. Ini memberikannya hak untuk membuat undian dalam setiap keputusan yang dibuat oleh pengeluar kereta mewah tersebut. 

Keluarga Bertarelli dikatakan memiliki kekayaan sebanyak AS$18.1 bilion (RM79.1 bilion) dengan kebanyakannya datang dari perniagaan farmaseutikal. 

Aston Martin berdepan masalah aliran tunai dan inventori yang tidak terjual oleh para pengedarnya sejak tahun 2018.

Bulan lalu, pengeluar kenderaan itu menyatakan bahawa ia memerlukan dana tambahan walaupun selepas mendapat suntikan sebanyak AS$670 juta (RM2.93 bilion) daripada sekumpulan pelabur yang diketuai oleh pelabur Kanada, Lawrence Stroll. 

Stroll yang mengendalikan pasukan Racing Point F1 dalam satu kenyataan memberitahu penerbitan saham baru yang merupakan sebahagian daripada suntikan dana akan membuatkan kecairan jumlah saham Bertarelli menjadi 0.7 peratus sahaja. 

Bertarelli bagaimanapun enggan memberi sebarang komen. 

Selain Stroll dan Bertarelli, bos Mercedes F1 serta Daimler juga ada membeli sedikit saham Aston Martin sebelum ini. 

Sejak bulan lalu, Aston Martin terpaksa menutup dua buah kilangnya di UK berikutan penularan wabak COVID-19. 

Google ads
Back to top button