Buletin

PAM MINYAK MUNGKIN KERING SELEPAS PKP. KERAJAAN WAJAR HENTIKAN SEMENTARA PENETAPAN HARGA MINGGUAN – PDAM

Persatuan Pengedar Petroleum Malaysia (PDAM) baru-baru ini memberi amaran bahawa pam-pam di stesen minyak mungkin kering selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat berikutan orang ramai akan kembali mengisi minyak ke dalam kenderaan masing-masing. 

Namun, keadaan itu mungkin boleh dielakkan jika kerajaan menghentikan semenrara penetapan harga minyak mingguan. 

Presiden PDAM, Khairul Annuar Abdul Aziz memberitahu majoriti pemilik stesen minyak tidak mempunyai dana untuk membeli petrol dan diesel yang mencukupi untuk memenuhi permintaan yang dijangka naik mendadak selepas PKP. Perkara itu diburukkan lagi dengan penurunan harga bahan api dan 70 peratus jualan sejak PKP dilaksanakan. 

Ramai ahli PDAM membeli stok lebih awal, sebelum harga minyak menjunam tidak lama selepas PKP dilaksanakan kerana perang harga di antara Arab Saudi dan Rusia. Ini bermakna mereka membayar lebih mahal seliter berbanding harga yang dijual selepas itu. 

PKP juga menyebabkan jualan bahan api merudum, sedangkan stok sedia ada memerlukan masa untuk dihabiskan. “Pada asasnya kami memberi pelanggan subsidi lebih 30 sen seliter. Nasib baik, harga agak stabil dalam 2 minggu terakhir,“ kata Khairul. 

Namun, kerosakan sudah berlaku. Stesen minyak yang biasanya menghabiskan sekitar RM150,000 hingga RM250,000 sebulan untuk membeli bahan api kini tidak lagi mampu berbuat demikian kerana kekurangan modal. Jadi, PDAM bimbang sebaik sahaja PKP ditamatkan, orang ramai akan mula membeli bahan api dan permintaan naik mendadak. 

Permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi oleh stesen minyak. Jadi, dalam senario terburuk pengguna akan mendapati stesen minyak kehabisan bahan api dan pengusaha meninggalkan perniagaan itu selama-lamanya. 

Justeru, PDAM berharap kerajaan dapat menetapkan harga bahan api dalam satu tempoh dan tidak berubah setiap minggu. Ia dilihat akan memberi impak positif kepada industri minyak dan gas secara keseluruhannya. 

Khairul turut membuat perbezaan di antara pelanggan komersial (operator di sektor pengangkutan) dan runcit (pemilik stesen  minyak) dalam industri.  

“Pelanggan terbesar dalam kalangan pembeli komersial adalah syarikat penerbangan. Industri itu tidak akan pulih begitu cepat. Jadi, keseluruhan industri minyak dan gas akan bergantung ke atas penjualan kepada peruncit seperti pengusaha stesen petrol. 

“Jika kami tidak boleh bertahan, ia pasti akan beri impak buruk kepada industri,” tegasnya. – FMT 

Google ads
Back to top button