Buletin

ASTON MARTIN HASILKAN HELIKOPTER MEWAH DENGAN KERJASAMA AIRBUS

Aston Martin memang terkenal sebagai pengeluar supercar dan grand tourer mewah. Baru-baru ini, pengeluar kereta itu dilihat meneroka bidang penghasilan jentera yang benar-benar berbeza. 

Selepas menjalin kerjasama dengan Brough Superior untuk mereka bentuk motosikal AMB 001, Aston Martin berkolaborasi pula dengan Airbus Corporate Helicopters.

Hasilnya, sebuah helikopter mewah yang dikenali sebagai ACH130 Aston Martin Edition. 

Helikopter edisi khas itu dilengkapi salah satu daripada empat rekaan dalaman dan luaran Aston Martin yang diinspirasikan daripada kereta sports keluarannya.

Reka bentuk signatur Aston Martin dapat dilihat dengan jelas pada hampir keseluruhan helikopter itu. 

Antaranya ialah wings Aston Martin dan ruang kabin yang dibalut kulit mewah. Bahagian luar pula diserlahkan dengan cat berwarna hitam dan kelabu.

Setiap helikopter itu akan dipasang dengan plak khas pada panel instrumen bersama logo Aston Martin dan Airbus Corporate Helicopters. Pelanggan juga boleh meminta untuk nama mereka diukir pada pal tersebut. 

“Kami mempunyai prinsip reka bentuk auomotif tersebdiri. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami belajar bagaimana untuk mengaplikasikan prinsip rekaan tersebut ke dalam bidang lain reka bentuk seperti seni bina, motorsikal dan sekarang helikopter,” kata Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kreatif Aston Martin, Marek Reichman. 

Penyerahan ACH130 Aston Martin Edition dijangka bermula pada suku pertama tahun ini. 

Google ads
Back to top button