
SIKA ANJUR UJIAN KESELAMATAN CERMIN HADAPAN PERTAMA DI MALAYSIA
Malaysia melakar satu lagi pencapaian dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya apabila ujian pelanggaran cermin hadapan kenderaan secara langsung buat pertama kali di negara ini berjaya dilaksanakan di makmal Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Ayer Molek.
Program yang dianjurkan oleh Sika Malaysia itu turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai penilaian ujian pelanggaran cermin hadapan automotif pertama yang dijalankan secara langsung di negara ini pada tahun 2026.
Demonstrasi tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peranan penting cermin hadapan sebagai sebahagian daripada struktur keselamatan kenderaan, dan bukannya sekadar komponen pelindung daripada angin atau hujan.
Dalam ujian berkenaan, sebuah kenderaan dipandu melanggar halangan hadapan pada kelajuan 48km/j, menyerupai situasi kemalangan sebenar.

Hasil ujian menunjukkan cermin hadapan yang dipasang dengan betul mampu membantu mengekalkan integriti struktur kabin, menyokong fungsi beg udara serta mengurangkan risiko penumpang tercampak keluar ketika kemalangan.
Ketua Automotif dan Industri Sika Malaysia, Daphne Wong berkata, ramai pemilik kenderaan sering menilai penggantian cermin hadapan berdasarkan harga dan tempoh pemasangan semata-mata tanpa mengambil kira faktor keselamatan yang lebih kritikal.
Menurut beliau, kualiti pelekat serta ketepatan proses pemasangan memainkan peranan besar dalam memastikan cermin kekal berada pada kedudukannya ketika berlaku pelanggaran.
“Cermin hadapan sebenarnya merupakan komponen keselamatan yang penting. Jika pelekat yang digunakan tidak sesuai atau proses pemasangan tidak mengikut piawaian, tahap perlindungan kepada penumpang boleh terjejas,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas ujian yang berlangsung di fasiliti sama yang turut digunakan bagi program penilaian keselamatan ASEAN NCAP.
Statistik menunjukkan Malaysia merekodkan 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2025, manakala jumlah kemalangan mencecah 790,614 kes, angka tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.
Perkembangan itu dilihat memberi cabaran kepada sasaran Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 yang menetapkan pengurangan 50 peratus kadar kematian jalan raya menjelang tahun 2030.
Sementara itu, Sika memaklumkan lebih 400,000 kenderaan di Malaysia menggunakan pelekat cermin hadapan keluaran syarikat tersebut setiap tahun.

Produk yang digunakan dalam ujian berkenaan menawarkan tempoh minimum pemanduan selamat selepas pemasangan selama 60 minit dan telah menjalani pelbagai ujian mengikut piawaian keselamatan antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan standard industri, syarikat itu turut menjalankan program pensijilan khas untuk pemasang cermin hadapan di seluruh negara bagi memastikan kerja-kerja penggantian dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Selain demonstrasi ujian pelanggaran, Sika turut melancarkan kempen khas yang menggalakkan pengguna mendapatkan perkhidmatan penggantian cermin hadapan di bengkel bertauliah, dengan peluang memenangi kad petrol melalui cabutan bertuah bulanan sehingga penghujung tahun ini.

