Buletin

LEXUS ES 250 F SPORT 2022. PLATFORM GA-K, LSS+, BERMULA RM345K

Lexus Malaysia hari ini melancarkan varian terbaharu dalam keluarga sedan ES iaitu Lexus ES 250 F Sport ke pasaran tempatan.

Jentera itu merupakan sedan eksekutif paling laris Lexus jualan lebih 2.3 juta unit di seluruh dunia. Dalam barisan model sedan Lexus, ES diposisikan di antara model IS dan GS.

Menjadi pesaing secara langsung kepada model-model seperti Mercedes-Benz E-Class dan BMW 5-Series, ES memberi pilihan kepada pelanggan yang ingin mencuba sebuah sedan mewah dari Jepun.

Pada tahun 2019, Lexus Malaysia telah pun memperkenalkan ES 250 Luxury dengan harga RM332,888 seunit. Kini anda boleh membeli varian tertinggi ES 250 F Sport yang dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan terbaik.

Dari segi luaran, sedan yang dibina di atas platform Global Architecture-K (GA-K) itu tampil dengan yang dramatik. Garis-garis tajam dapat dilihat dengan jelas pada bahagian hadapan, sisi dan belakang.

Wajah jentera itu diserlahkan dengan spindle grill besar dengan kemasan mesh berwarna hitam metalik. Kalau anda masih ingat, varian Luxury dan Premium dipasang dengan spindle grill dengan rekaan berpalang.

ES 250 F Sport menggunakan lampu utama 3 beam-LED dan lampu nyalaan siang (DRL) baharu yang lebih nipis. Melihat dari arah sisi, ia dibezakan menerusi lencana F-Sport dan rim bersaiz 19 inci dengan kemasan dark premium metallic.

Bahagian belakang pula hanya menerima spoiler dan kemasan krom yang digelapkan. Anda boleh memilih dua warna eksklusif iaitu biru dan putih.

Ruang kabin kini kelihatan lebih mewah dengan pilihan tona hitam dan merah. Perubahan paling ketara di bahagian itu ialah skrin sentuh 12.3 inci telah diposisikan 112mm lebih dekat dengan penumpang dan 5 darjah dicondongkan ke arah pemandu.

Ia juga dilengkapi ciri penjana Generator ion Nanoe-X untuk meningkatkan kualiti udara di dalam kabin dan slot USB C. Jam analog dengan grafik L membuatkan papan pemuka sedan itu nampak semakin elegan.

Apa yang paling menarik ialah gelung logam pada kluster meter yang boleh dialih ke bahagian tengah atau kanan. Untuk makluman, ciri itu pertama kali digunakan pada Lexus LFA.

Sedan itu juga dipasangkan dengan sensor khas anti-kecurian yang berfungsi mengesan kecondongan kereta apabila ditunda sebelum penggera dibunyikan.

ES 250 F Sport dijana oleh enjin VVT-iE bersesaran 2.5 liter yang mampu menjana kuasa 204hp dan tork 247Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik direct-shift 8-kelajuan.

Rangkaian kuasa tersebut menawarkan kelajuan maksimum 210km/j. Pecutan dari 0 ke 100km/j pula boleh dilakukan dalam masa Cuma 9.1 saat.  

Tidak pernah berkompromi dengan aspek keselamatan, jentera tersebut dilengkapi Lexus Safety System+ (LSS+) sebagai ciri standard. LSS+ merangkumi Pre-collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Keeping Assist (LKA), Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA) Adaptive High Beam System, dengan teknologi BladeScan, RCTA, Parking Support Brake dan banyak lagi.

ES 250 F Sport akan berada di bilik pameran Lexus bermula 31 Oktober dan sudah boleh ditempah mulai sekarang. Sedan yang memang mantap ini boleh anda miliki pada harga RM345,134 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button