Buletin

PROTON PERKENAL MINYAK PELINCIR. KERJASAMA DENGAN PETRONAS, BERMULA RM78 SEBOTOL

PROTON hari ini melancarkan rangkaian produk minyak pelincir ditawarkan di bawah jenama alat ganti tulen PROTON.

Terdapat empat gred dalam senarai Minyak Pelincir Proton (PGO) iaitu PGO 1 ke PGO 4 yang merangkumi minyak sintetik penuh, minyak semi-sintetik dan minyak mineral.

Rangkaian minyak pelincir PGO diformulasikan secara spesifik untuk enjin kereta PROTON oleh Petronas. Ia hadir dengan spesifikasi 5W30 SP, 5W30 SN, 10W30 SN dan tahap kelikatan 15W40 SN dengan API SP dan tahap API SN.

Semua minyak itu boleh didapati di wakil servis sah PROTON dan stokis alat ganti. Namun, ia hanya terhad kepada PGO 3 dan PGO 4 buat masa sekarang.

Pelancaran minyak pelincir PGO merupakan satu langkah baharu dalam usaha PROTON menjadi jenama automotif premium di Malaysia. Syarikat telah bekerjasama dengan rakan niaga untuk menghasilkan formulasi terbaik demi memastikan ia mencapai tahap yang diinginkan.

Ia memberi perlindungan enjin kereta Proton dan ditawarkan pada harga yang berpatutan. Minyak enjin tersebut boleh digunakan ke atas semua barisan model termasuklah enjin TGDI yang dipasang pada SUV PROTON.

Minyak enjin yang didatangkan dalam botol bersaiz empat liter itu boleh anda beli pada harga bermula RM78 hingga RM163 sebotol.

“Menuju ke hadapan, PROTON juga sedang meneroka peluang di mana kita boleh berkerjasama dengan pembekal untuk memberikan lebih nilai kepada pelanggan.

“Kami juga akan menambah baik kekuatan rangkaian wakil jualan yang mempunyai jumlah pusat 3S dan 4S terbesar di dalam negara, bagi memastikan produk seperti rangkaian PGO boleh didapati di seluruh negara secepat mungkin,”  kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Google ads
Back to top button