Buletin

LEXUS LBX, SUV KECIL PLATFORM GA-B, 1.5L 3 SILINDER HIBRID

Lexus Breakthrough X(cross)-over, itulah maksud LBX, kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu dari jenama premium Lexus.

LBX mengingatkan kepada hatchback Lexus CT dan SUV terbaru atau crossover ini jawapan kepada trend semasa dan untuk pengguna yang mahukan sebuah Lexus dengan saiz kecil.

LBX dibangunkan dari platfrom GA-B dengan dimensi panjang 4,190mm, lebar 1,825mm, tinggi 1,545mm dan jarak roda 2,580mm. 

Sebagai ahli kumpulan Toyota, Lexus menggunakan enjin 1.5 liter tiga silinder dengan teknologi pemasaan injap boleh ubah elektronik pintar (electronic intelligent variable valve-timing).

Bersama teknologi Lexus Hybrid, pakej itu menghasilkan 134 bhp (100kW) dengan tork 185Nm. Pelanggan diberi dua pilihan pacuan, E-Four atau dua roda depan.

Lexus tidak mengambil bulat-bulat teknologi yang tersedia dan banyak perubahan yang dibuat, sebagai contoh penggunaan bateri NiMH bipolar baharu berbanding litium-ion.

Bateri itu didatangkan dalam pakej lebih ringan dan rekabentuk kompak namun mempunyai output lebih tinggi dan respon lebih cepat. 

Hasilnya boleh dilihat pada pecutan lebih tangkas dan berkuasa seperti kenderaan elektrik bateri (BEV) selain kecekapan penggunaan bahan api. 

Turut diubah sistem penyejukan yang dapat memanjangkan hayat dan prestasi bateri.

Satu lagi ciri pada LBX ialah penambahan aci pengimbang pada enjin bagi mengurangkan gegaran. 

Banyak lagi yang diberi perhatian sebagai contoh pintu dengan kepingan peredam, penebat pada bumbung, kedap pada bonet dan penggunaan busa bagi memberikan pemanduan sebuah Lexus.

LBX merupakan model Lexus pertama dibangunkan dari platform GA-B dan disesuaikan mengikut keperluan Lexus dan juga Lexus Driving Signature.

Badan LBX diperkukuh dengan kaedah pelekat struktur dan kimpalan titik jarak dekat (short pitch) dan penggunaan pendakap dan pengukuh pada lokasi strategik.

Bagi mendapatkan berat yang rendah, LBX menggunakan bonet aluminium dan resin terbentuk pada lingkungan roda, alang dan bahagian bawah pintu.

Bagi mendapatkan bahan yang kuat dan ringan, Lexus menggunakan menggunakan kaedah terap panas dengan keluli gred 2.0 GPa pada tiang B dan gred 1.8 GPa pada pengukuh bampar.

Kesemua varian LBX menggunakan suspensi MacPherson pada bahagian depan dan tetapan berbeza pada bahagian belakang.

LBX E-Four dipasang suspensi double-wishbone dan rasuk kilas pada model pacuan dua roda. Turut dilengkapi pada LBX ialah Kawalan Kedudukan Pembrekan Kenderaan.

Sistem itu menyeimbangkan pembahagian daya brek depan dan belakang secara automatik bagi menahan anggul (pitching) dan mengekalkan kedudukan linear.

Sistem itu juga mengurangkan olengan di selekoh, mengekalkan keselesaan dan kestabilan dan mengasingkan getaran.

Jika bahagian luar tampil rugged, dalaman LBX pula dibuat tenang dan tidak berserabut. Tiada gugusan butang yang sibuk dan satu-satunya yang menonjol ialah tombol gear. 

Skrin di tengah berukuran 9.8 inci dan paparan instrumen dimuatkan dalam skrin digital 12.3 inci.

Sebagai sebuah hatchback tinggi, ruang bagasi mempunyai kapasiti 332 liter (2WD) dan muat untuk dua beg 75 liter.

Dari segi keselamatan, LBX dilengkapi Lexus Safety System+ yang merangkumi Sistem Pra-Pelanggaran dengan Bantuan Membelok di Persimpangan, Kawalan Jelajah Dinamik Radar dan Pengawasan Titik Buta.

Turut dilengkapi Bantuan Pengesanan Lorong/Bantuan Pengekalan Lorong, Bantuan Papan Tanda Jalan Raya, Bantuan Keluar Selamat dan Peringatan Lintasan Trafik Belakang.

Lexus LBX dijadual untuk dikeluarkan pada penghujung 2023 dan penghantaran pertama bagi pelanggan United Kingdom bermula pada Mac 2024.

BACA: LEXUS LM 2024. HIBRID TURBO 2.4L DAN 2.5L, KONFIGURASI 4, 6 & 7 TEMPAT DUDUK, SKRIN 48″

BACA: LEXUS LX 600 URBAN CONCEPT, UBAH SUAI KEMAS ALA JDM!

BACA: DSPORT IS 600+ PROJECT BUILD, 3.5L V6 N/A TUKAR 3.5L V6 TURBO!

Google ads
"
"
Back to top button