
DSPORT IS 600+ PROJECT BUILD, 3.5L V6 N/A TUKAR 3.5L V6 TURBO!
Lexus adalah sebuah jenama premium dari Jepun dan satu fakta yang perakui sejak dulu lagi. Model keluarannya hadir dengan identiti tersendiri terutama sekali spindle grille yang begitu menonjol.
Lexus mempunyai pelbagai model dan di antara produk tradisi ialah sedan IS yang asalnya Toyota Altezza dan diperkenalkan pada 1998.
Lexus IS sekarang ini berada di dalam generasi ketiga dan berada di pasaran sejak 2013. Tempoh itu memang lama dan IS menerima perubahan besar pada 2020.
Dari segi segmen, IS bersaing dengan BMW 3 Series dan sedan premium itu turut mempunyai model 5.0 liter V8 melalui IS 500 F SPORT Performance dan hanya dijual di Amerika Utara.
Satu lagi varian menarik ialah IS 350 F SPORT dengan enjin 2GR-FKS 3.5 liter V6 yang menghasilkan 311 kuasa kuda (hp) dan tork 380Nm.
Sebagai sebuah sedan premium sport tidak bermakna ianya tidak boleh diubah suai dengan ekstrem dan ini yang dilakukan oleh Lexus sempena SEMA 2022.
DSPORT IS 600+ Project Build dibawa ke ruang pameran dengan kuasa lebih 600 hp dari enjin V35A Dynamic Force 3.5 liter yang asalnya digunakan pada Lexus LS 500.
Enjin dengan pengecas turbo berkembar itu di dalam spesifikasi standard berkuasa 416 hp dan tork 600Nm.
Enjin itu diubah suai dengan meningkatkan tahap galak (boost) dan talaan semula pada bahan api dan pencucuhan (ignition) dan menggunakan bahan api E85 (campuran etanol dan gasolin).
Dipadan bersama enjin ialah transmisi sequential penuh enam kelajuan dari Samsonas dan klac karbon dari Tilton. Komunikasi di antara kedua-dua mesin diselia oleh sistem pengurusan enjin Emtron.
Melepaskan gas CO2 dan bunyi garang ialah set ekzos dari GTHaus. Maklumat enjin dan prestasi ditayangkan pada paparan berwarna Motec.
Sebagai projek yang berorientasikan litar, casis kereta diperkukuh dengan rangka keselamatan empat sudut dan memberi perlindungan kepada pemandu.
Suspensi standard diganti dengan set KW boleh laras. Turut dipasang set brek Seramik Karbon dari Lexus RC F dan brek parkir elektronik Wilwood.
Rim kelabu dan bibir krom pada kereta ini dari Volk Racing saiz 19 inci dan dibalut tayar Michelin Sport 4S.
Bagi mengurangkan berat, kerusi belakang ditanggalkan dan kerusi depan diganti kerusi perlumbaan dan tali pinggang keledar Sparco.
Misi pengurangan berat diteruskan dengan pemasangan tukup enjin dan but gentian karbon dari Seibon.
Segala ubah suai yang dibuat diserlahkan dengan penggunaan kit badan lebar Artisan Spirits yang mengubah terus sedan ini kepada kereta sport.
Badan DSPORT IS 600+ Project Build ini bukan dibalut pelekat tetapi dilayangkan warna rekaan khas Axalta dengan bayangan warna cat OEM Lexus.
BACA: LEXUS IS 2021 TAMPIL GARANG – PACUAN RWD DAN AWD