Buletin

LUBANG DI JALAN? LAPORKAN PADA WAZE DAN IA AKAN DIBAIKI DALAM 5 HARI (KATANYA LAH…)

Untuk memastikan pemanduan yang lebih lancar di Selangor sepanjang musim cuti sekolah ini, para pengguna jalan raya digalakkan untuk memanfaatkan kerjasama di antara Waze dan Kerajaan Negeri Selangor agar masalah lubang-lubang jalan dapat ditangani dengan lebih cekap dan pantas.

“Dengan inisiatif ini, para pemandu di Selangor dapat melaporkan lubang-lubang jalan terus kepada pihak-pihak berkuasa dengan mudah dan cekap, dan lubang-lubang tersebut dapat ditampal secepat mungkin,” kata Edward Ling, Pengurus Negara bagi Waze Malaysia.

“Waze sentiasa mengambil berat tentang komuniti kami. Anggota-anggota komunitiIah yang sentiasa berkongsi data trafik masa nyata dan makluman lain yang berkaitan bagi membantu memastikan perjalanan yang lebih lancar. Kami berharap badan-badan kerajaan akan menerima pakai dan bekerjasama dengan Waze melalui program pertukaran data yang percuma ini,” tambah Ling.

Menurut Unit Penghantaran Smart Selangor (SSDU), inisiatif ini meliputi kesemua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor, iaitu: Petaling Jaya (MBPJ), Shah Alam (MBSA), Hulu Selangor (MDHS), Kuala Langat (MDKL), Kuala Selangor (MDKS), Sabak Bernam (MDSB), Ampang Jaya (MPAJ), Kajang (MPKJ), Klang (MPK), Selayang (MPS), Sepang (MPSepang) dan Subang Jaya (MPSJ). Walau bagaimanapun, beberapa jalan raya di Selangor merupakan milik persendirian atau diurus oleh Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah / Tanah, atau Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia secara berasingan.

Timbalan Pengarah SSDU, Dr. Fahmi Ngah berkata bahawa dari Januari hingga November tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menerima lebih daripada 19,000 laporan melalui para pengguna Waze, dan telah menampal hampir kesemua lubang-lubang jalan di jalan raya yang dikendali oleh pihak berkuasa tempatan. “Kerjasama di antara kerajaan dan rakyat ini telah menunjukkan kesan yang nyata, dan kami berharap rakyat Selangor akan terus membantu kerajaan dalam mengesan lubang jalan melalui apl Waze.”

Muat turun apl Waze sekarang dan jadikan pemanduan di Selangor lebih selamat dan lancar. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.waze.com.

Google ads
Back to top button