
MALAYSIA CIPTA SEJARAH, MUNCUL JUARA MERCEDES TROPHY WORLD FINAL 2026
Malaysia mencipta sejarah apabila muncul juara MercedesTrophy World Final 2026 yang berlangsung di Stuttgart, Jerman, dari 28 September hingga 2 Oktober lalu.
Kejayaan itu merupakan gelaran kejuaraan dunia pertama negara dalam kejohanan golf amatur anjuran Mercedes-Benz, sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara lain yang pernah menjuarai pertandingan berprestij berkenaan.
Pasukan Malaysia meraih kemenangan menerusi kutipan keseluruhan 168 mata hasil persembahan konsisten dan berdisiplin sepanjang pertandingan.
Kejayaan itu turut diserikan dengan pencapaian individu apabila Liew Kim Seng muncul juara kategori perseorangan B, manakala Ng Jun Lip meraih tempat kedua kategori perseorangan A.

Kedua-dua pemain itu bersama Mohd Azli Jamal layak mewakili Malaysia ke peringkat dunia selepas menjuarai kategori masing-masing pada Pusingan Akhir Kebangsaan MercedesTrophy Malaysia 2026 di The Els Club Desaru Coast, Johor.
Perjalanan ke pentas antarabangsa itu bermula menerusi empat pusingan kelayakan yang dianjurkan di seluruh negara. Mereka kemudian bersaing dengan peserta dari pelbagai negara yang turut melepasi kejohanan kelayakan di pasaran masing-masing.
MercedesTrophy menghimpunkan kira-kira 60,000 pemain golf dari 60 negara setiap tahun, menjadikannya antara platform utama Mercedes-Benz untuk mengeratkan hubungan dengan pelanggan menerusi minat terhadap sukan berkenaan.
Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Elaine Hew, berkata kejayaan itu mencerminkan semangat kecemerlangan, kesukanan, kerjasama berpasukan dan minat mendalam terhadap golf yang menjadi teras kejohanan berkenaan.
Beliau berkata kemenangan sulung Malaysia itu bukan sahaja satu pencapaian membanggakan, malah menjadi detik penting yang akan dikenang dalam penyertaan negara pada kejohanan tersebut.
Selain pertandingan, peserta turut menikmati pelbagai pengalaman eksklusif sepanjang berada di Jerman, termasuk bermain golf di resort lima bintang Der Öschberghof di Black Forest serta melawat Muzium Mercedes-Benz dan kilang pengeluaran Mercedes-Benz di Sindelfingen.
Program itu turut disertai duta jenama global Mercedes-Benz, Bernhard Langer, juara Masters sebanyak dua kali.
Peserta berpeluang menguji kemahiran menerusi cabaran “Beat Bernhard Langer” menentang pemain golf profesional berpengalaman itu.
Penganjuran MercedesTrophy merupakan sebahagian daripada usaha Mercedes-Benz Malaysia memperluas pengalaman pelanggan melangkaui pemilikan kenderaan.
Melalui penyelesaian mobiliti Agility+ by Mercedes-Benz, pelanggan turut mendapat akses kepada pengalaman gaya hidup terpilih yang menghubungkan mereka dengan komuniti jenama tersebut.
Kejayaan Malaysia pada edisi 2026 sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam kalangan peserta antarabangsa, selain membuktikan keupayaan pemain golf amatur tempatan bersaing di pentas dunia.



