Buletin

ALIBABA AKAN WUJUD MESIN JUALAN KERETA BERBENTUK KUCING – KAT MANA KASIM BABA SEKARANG?

Jika anda ingin saksikan sendiri mesin jualan (vending machine) terbesar di dunia, tunggu saja sedikit masa lagi kerana Alibaba, syarikat e-commerce gergasi dari China akan membuka mesin jualan kereta berbentuk kucing yang akan beroperasi di Nanjing dan Shanghai.

Untuk menggunakan perkhidmatan mesin jualan kereta ini, pelanggan yang berminat mesti mempunyai mata melebihi 700 dengan Zhima Credit System China. Dan lagi mereka juga mesti disahkan sebagai Super Member Alibaba.

Dari situ, barulah para pelanggan boleh memuat turun aplikasi telefon berkaitan yang membolehkan mereka memilih satu daripada kereta dari mesin jualan berkenaan dan memandu ujinya selama tiga hari ataupun membelinya terus.

Sebaik pengenalan pelanggan disahkan sama ada melalui pengecaman wajah ataupun kod masuk, kenderaan akan dihantar ke tingkat bawah melalui mesin jualan kepada pelanggan.

BACA: FORD JUAL KERETA MENERUSI ALIBABA, ADAKAH INI STRATEGI PEMASARAN MASA HADAPAN?

Untuk mengelak daripada pelanggan yang mengambil kesempatan dari peluang pandu uji ini, setiap pelanggan hanya boleh memandu uji sebuah kereta pada satu masa dan tidak lebih dari lima sesi pandu uji boleh dilakukan dalam masa 2 bulan program ini diperkenalkan.

Setakat ini dikatakan Maserati, Mercedes-Benz, BMW, Audi dan Volvo berminat dengan konsep jualan baru ini.

“Matlamat kami memperkenalkan mesin jualan kereta ini ialah untuk membantu mengurangkan masalah yang dihadapi pelanggan dalam urusan jual beli kereta,” kata Huan Lu, pengarah pemasaran Tmalls bahagian automotif yang merupakan anak syarikat Alibaba.

Untuk itu mereka telah membangunkan konsep berupa sebuah mesin layan diri yang mampu membuat pengecaman wajah pelanggan, menawarkan sesi pandu uji selama tiga hari dan ruang pameran khusus untuk pelanggan memilih kereta baru mereka.

Alibaba bercadang membangunkan lebih sedozen mesin layan diri seumpama ini di China dalam masa 12 bulan akan datang.

Bayangkan betapa bestnya jika konsep ini turut diperkenalkan di Malaysia. Boleh beli kereta tanpa senarai menunggu yang panjang, itupun kadang-kadang kena potong bila pelanggan lain yang kenal orang dalam.

Paling menarik bagi kami ialah sesi pandu uji selama tiga hari. Boleh bawak balik Kodiang tu, bukannya pusing-pusing dengan jurujual yang asyik bercakap tak henti-henti macam Pak Amid selalu kena. Hadoii…sabar jel lah.

Google ads
Back to top button