Artikel Pilihan

PENGASAS ZXMOTO MEREMPIT 40.74KM ATAS AIR

Zhang Xue yang merupakan pengasas pengeluar motosikal ZXMOTO, mencipta rekod dunia selepas berjaya menunggang sebuah motosikal yang diubahsuai sejauh 40.74 kilometer di atas permukaan air terbuka. Cabaran itu berlangsung pada 25 Oktober 2026 di wilayah Hunan, China, iaitu kampung halaman Zhang sendiri.

Pencapaian tersebut mengatasi rekod terdahulu sejauh 31.8 kilometer yang dikaitkan dengan pelumba Australia, Robbie Maddison, sekaligus membuktikan bahawa motosikal yang diubah suai secara khusus mampu bergerak di atas air untuk jarak yang luar biasa.

Motosikal ZXMOTO MX450 menjalani pengubahsuaian khusus bagi membolehkannya meluncur di atas permukaan air. Antara perubahan utama termasuk pemasangan struktur peluncur atau ski di bahagian hadapan, sistem apungan tambahan, tangki bahan api berkapasiti lebih besar serta perlindungan kalis air.

Ketika bergerak, ski hadapan membantu mengawal arah motosikal, manakala tayar belakang menghasilkan daya tujahan yang membolehkannya terus meluncur. Gabungan kelajuan, pengagihan berat dan kestabilan amat penting kerana motosikal itu perlu mengekalkan pergerakan tanpa tenggelam atau kehilangan kawalan.

Kejayaan ini sebenarnya merupakan hasil usaha Zhang yang bermula sejak 2009 ketika dia berusia 22 tahun. Pada percubaan awal, dia menggunakan motosikal yang diubah suai secara asas tetapi gagal selepas beberapa kali terjatuh ke dalam air. Jarak terbaik yang berjaya dicapainya ketika itu hanya sekitar 20 meter.

Walaupun percubaan seterusnya berakhir dengan kegagalan, Zhang tidak meninggalkan impiannya untuk menunggang motosikal di atas air. Selepas 17 tahun, dia kembali dengan persediaan lebih rapi dan teknologi yang jauh lebih baik. Zhang berkata dia mempunyai keyakinan tinggi bahawa cabaran tersebut boleh direalisasikan dan meneruskannya walaupun berdepan kegagalan kerana dia benar-benar menikmati proses itu.

Bagi merealisasikan percubaan berkenaan, pasukannya dilaporkan mengambil masa kira-kira lima bulan untuk memperhalusi reka bentuk motosikal. Kerja pembangunan merangkumi penambahbaikan struktur apungan, sistem pengedapan kalis air, padanan kuasa dan kestabilan ketika bergerak di atas air.

Pasukan turut mengubah suai struktur bunga tayar, mengecilkan peluncur apungan serta memasang sirip penstabil di bahagian belakang. Pengubahsuaian tersebut diperlukan kerana menunggang di atas air bukan sekadar memerlukan kelajuan tinggi, malah turut melibatkan risiko akibat arus, ombak, perubahan arah dan kehilangan keseimbangan.

Percubaan rekod itu turut melibatkan proses pemantauan dan pengesahan rasmi oleh wakil Guinness World Records. Data GPS, rekod masa, rakaman video serta bukti perjalanan digunakan untuk mengesahkan jarak yang dicapai. Peraturan cabaran menetapkan bahawa perjalanan perlu dilakukan secara berterusan tanpa berhenti untuk berehat, mengisi bahan api atau melakukan pembaikan.

Pasukan penyelamat dan petugas perubatan turut bersiap sedia sepanjang acara bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Selepas melengkapkan jarak 40.74 kilometer, Zhang akhirnya berjaya mencapai sasaran yang dikejarnya selama hampir 2 dekad.

Google ads
Back to top button