
OMODA | JAECOO PERKUKUH KEMAHIRAN TEKNIKAL, TINGKAT KUALITI SERVIS SELEPAS JUALAN
OMODA | JAECOO Malaysia terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan selepas jualan menerusi penganjuran Pertandingan Kemahiran Teknikal OMODA | JAECOO 2026 bagi memperkukuh kecekapan tenaga teknikal serta meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.
Pertandingan itu menjadi platform kepada juruteknik daripada rangkaian pusat servis jenama berkenaan untuk menguji dan meningkatkan pengetahuan teknikal, kemahiran diagnosis serta keupayaan membaiki kenderaan, selaras dengan perkembangan teknologi automotif yang semakin kompleks.
Ketua OMODA | JAECOO Malaysia, Chris Tan, berkata pengalaman pemilikan kenderaan yang berkualiti bukan sekadar bergantung kepada produk, sebaliknya turut merangkumi sokongan selepas jualan.

Menurutnya, syarikat sentiasa berusaha memperkukuh pengetahuan serta kemahiran pasukan selepas jualan bagi memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan yang memenuhi standard ditetapkan.
Pertandingan bertemakan Sharpening Skills, Shaping Futures itu turut merangkumi penilaian teori dan praktikal bagi mengukur tahap penguasaan peserta dalam aspek teknikal.
Selain mengiktiraf juruteknik berprestasi tinggi, inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan pembangunan profesional secara berterusan serta memastikan standard keselamatan dan kualiti pembaikan sentiasa terpelihara.
Usaha itu juga mencerminkan komitmen OMODA | JAECOO Malaysia untuk membangunkan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi seiring dengan perkembangan rangkaian perkhidmatannya di seluruh negara.

Setakat ini, rangkaian pengedar OMODA | JAECOO Malaysia merangkumi 56 cawangan yang menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 24 cawangan beroperasi di wilayah tengah, manakala wilayah selatan dan utara masing-masing mempunyai 11 cawangan.
Pantai Timur pula mempunyai dua cawangan, sementara tujuh cawangan beroperasi di Malaysia Timur.
Melalui pengukuhan kemahiran teknikal dan peluasan rangkaian perkhidmatan, OMODA | JAECOO Malaysia menyasarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh, dengan penekanan terhadap kecekapan servis, kualiti kerja dan kepuasan pelanggan.








