Buletin

MASERATI MC20 PERTAMA TIBA DI MALAYSIA. 3.0L NETTUNO TWIN-TURBO, 630PS, BERMULA RM1.07 JUTA

Naza Italia-Maserati baru-baru ini menyerahkan jentera sports Maserati MC20 yang pertama di Malaysia. Menurut syarikat berkenaan, setakat ini pihaknya telah menerima lapan tempahan dengan dua unit telah pun diserahkan kepada pelanggan. 

MC20 membawa maksud Maserati Corse, manakala 20 itu merujuk kepada tahun 2020 di mana ia dilancarkan dan menjadi titik permulaan era baharu Maserati. Secara asasnya, MC20 menggantikan model MC12 yang diperkenalkan pada tahun 2004. 

Hadir dengan konfigurasi dua tempat duduk dan enjin di tengah, berat MC20 tidak sampai 1,500kg kerana penggunaan material gentian karbon yang ekstensif. Angka itu membolehkannya mencatat nisbah berat/kuasa terbaik di dalam kelasnya iaitu sekitar 2.33 kg/hp.  

Jentera dengan rekaan menawan itu dikuaskaan oleh enjin yang dibangunkan sendiri oleh Maserati, bukan lagi enjin daripada Ferrari. Dikenali sebagai Nettuno, enjin V6 turbo berkembar 90 darjah bersesaran 3.0 liter itu mampu menghasilkan kuasa 630PS dan tork 730Nm. 

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar lapan kelajuan. Rangkaian kuasa itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa 2.9 saat sahaja. Manakala pecutan 0-200 km/j pula mengambil masa 8.8 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 325km/j. 

Pengendalian mantap MC20 disumbangkan oleh penggunaan sistem suspensi jenis double-wishbone dengan gandar stereng maya pada semua roda, selain dibantu dengan bar anti-oleng.

Tahap aerodinamik terbaik MC20 dicapai selepas berada di dalam Dallara Wind Tunnel selama lebih 2,000 jam serta lebih seribu simulasi CFD (Computational Fluid Dynamics). Maka, tidak hairanlah jika kadar pekali seretan MC20 hanya 0.38 sahaja. 

MC20 menghidangkan rekaan kabin yang ringkas dan berorientasikan kepada pemandu. Papan pemukanya dilengkapi oleh dua paparan skrin (kluster meter dan infpohibur) bersaiz 10.3 inci. 

Konsol tengah yang dibalut oleh material gentian karbon diletakkan dengan butang dive mode selector, D/M dan R. Pemandu boleh memilih mode pemanduan sama ada GT, Wet, Sport, Corsa dan ESC Off dengan mudah. 

Untuk unit ini, tempat duduknya dibalut kulit berwarna coklat dan hitam. Manakala bumbung dan panel pintu menerima kemasan kulit Alcantara. 

Pelanggan boleh memilih daripada enam warna iaitu Bianco Audace, Giallo Genio, Rosso Vincente, Blu Infinito, Nero Enigma dan Grigio Mistero. 

Jika berminat, Maserati MC20 ditawarkan pada harga bermula RM1,078,000 tidak termasuk insurans, cukai, serta opsyen custom yang boleh ditentukan sendiri oleh pelanggan. 

Setiap unit didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun tanpa had perbatuan, termasuk program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000 km (Yang mana terdahulu).

GALERI

Google ads
Back to top button