
NAZA ITALIA PREBIU MASERATI GRECALE DI MALAYSIA. 3 VARIAN, KUASA CECAH 530PS
Peminat Maserati di Malaysia kini mempunyai satu lagi pilihan model untuk dimiliki kerana Naza Italia baru sahaja melakukan prebiu untuk Grecale.
Merupakan SUV kedua Maserati selepas Levante, Grecale mempunyai saiz yang lebih kecil. Secara spesifiknya, ia sepanjang 4,846 mm, lebar 1,948 mm, tinggi 1,670 mm dengan jarak roda mencecah 2,901mm.
Dibangunkan di Makmal Inovasi Maserati di Modena, Grecale dihasilkan di kilang Cassino, Itali. Kalau nak tahu, Grecale sebenarnya mengambil nama daripada angin Mediterranean timur laut.

Di Malaysia, jentera itu bersaing secara langsung dengan model Porsche Macan. Grecale didatangkan dalam tiga varian iaitu GT, Modena dan Trofeo dengan pilihan enjin mild-hybrid serta twin turbo. Varian GT dan Modena menggunakan khidmat enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang digabungkan dengan sistem mild-hybrid.
Rangkaian kuasa itu mampu menjana 300PS dan tork 450Nm untuk varian GT. Walaupun dipasang dengan enjin yang sama, output kuasa untuk varian Modena sedikit tinggi iaitu 330PS dan tork 450Nm. Dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik dan sistem semua roda, GT dan Modena boleh mencatat kelajuan tertinggi 240km/j.
Varian Trofeo pula menggunakan enjin Nettuno turbo berkembar V6 yang ada pada MC20. Enjin yang telah diubah suai itu dihgabungkan dengan teknologi Maserati Twin Combustion yang diambil daripada Formula 1. Hasilnya, ia mampu menghasilkan kuasa 530PS dan tork 620Nm dengan pecutan 0-100km/j hanya mengambil masa 3.8 saat.

Melihat pada reka bentuk luaran, Grecale menyerlahkan gayaan visual baharu Maserati menerusi bahagian hadapan yang dipasang dengan gril rendah diinspirasikan daripada model MC2 bersama kemasan gentian karbon.
Sisi SUV itu mengekalkan beberapa signatur Maserati seperti tiga corong angin pada fender hadapan dan emblem trident pada tiang C.
Bahagian belakang pula nampak menarik dengan kewujudan lampu bumerang yang diilhamkan daripada model Giugiaro 3200 GT. Imej sporty ditingkatkan lagi dengan diffuser yang diperbuat daripada gentian karbon, selain ekzos berkembar di kiri dan kanan. Sekali pandang macam sebuah kereta sports.
Tipikal sebuah Maserati, ruang kabin Grecale tampil ringkas dengan kemasan kulit berwarna hitam bersama jahitan benang kuning pada papan pemuka, konsol tengah dan tempat duduk. Pemandu dihidangkan dengan kluster instrumen, manakala papan pemuka dihuni oleh dua skrin sentuh bersaiz 12.3 inci dan skrin ‘Comfort’ berukuran 8.8 inci.

Skrin berkenaan disambungkan dengan sistem Maserati Intelligent Assistant (MIA) yang berasaskan kepada sistem operasi Android Automotive.
Buat pertama kali pada moddel Maserati, Grecale dipasang dengan jam digital yang diletakkan di antara dua corong pendingin hawa. Penumpang belakang pula boleh mengawal sistem pendingin hawa menerusi skrin sentuh pada pada hujung konsol tengah.
Apa yang lebih menarik, Maserati bekerjasama dengan Sonus Faber untuk membangunkan sistem bunyi 3D bersama tawaran 14 (standard) atau 21 unit (High Premium) pembesar suara.
Buat masa sekarang, harga Grecale masih belum diumumkan. Tetapi pelanggan sudah boleh membuat tempahan.
- BACA: MAMAT NI TUKAR HONDA ACCORD JADI MASERATI GRAN TURISMO. TAPI MACAM BURUK JE
- BACA: RAJA KERETA MALAYSIA JUAL MASERATI GHIBLI SPORTS TERIMA MATA WANG DIGITAL MNU. TRANSAKSI PERTAMA DI MALAYSIA
- BACA: DAVID BECKHAM DAKWA MASERATI MC20 KERETA PALING SEMPURNA
- BACA: SELEPAS 3 TAHUN, KERAJAAN PNG JUAL MASERATI HARGA MURAH. RM476K SAHAJA
GALERI







