
ATLANTIS AUTOMOBILI RASMI JADI PENGIMPORT DAN PENGEDAR MASERATI DI MALAYSIA
Jenama automotif mewah Itali, Maserati, mengumumkan pelantikan Atlantis Automobili Sdn. Bhd. sebagai pengimport dan pengedar rasmi baharunya di Malaysia berkuat kuasa 19 Mei 2026.
Pelantikan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Maserati di pasaran tempatan, selain memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada pelanggan serta pemilik sedia ada jenama berprestij tersebut.
Sebagai syarikat bersekutu di bawah Atlantis Motor Group, Atlantis Automobili kini bertanggungjawab mengendalikan keseluruhan operasi Maserati di Malaysia yang merangkumi jualan, perkhidmatan selepas jualan, pengalaman pelanggan, pembangunan jenama dan rangkaian pengedar.
Pengarah Eksekutif Atlantis Automobili Sdn. Bhd., Dato’ Douglas Cheng Heng Lee berkata, keutamaan syarikat ketika ini adalah memastikan pengalaman pemilikan yang lancar untuk semua pelanggan sambil membina asas lebih kukuh bagi perkembangan Maserati di Malaysia dalam jangka panjang.

Menurut beliau, reputasi Maserati yang dibina menerusi warisan, ketukangan dan semangat kejuruteraan selama lebih satu abad membawa tanggungjawab besar kepada syarikat untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi.
“Fokus utama kami adalah memastikan setiap pelanggan dan pemilik Maserati terus menerima sokongan yang diperlukan sepanjang proses peralihan ini. Kami mahu memastikan keyakinan terhadap jenama ini terus dipelihara,” katanya.
Atlantis Motor Group merupakan kumpulan automotif serantau yang terlibat dalam pelbagai aspek rantaian nilai industri automotif, termasuk penyediaan penyelesaian mobiliti menyeluruh.
Pengalaman luas kumpulan itu dalam sektor automotif dijangka membantu memperkukuhkan lagi kehadiran Maserati di negara ini.

Bagi pemilik Maserati sedia ada, Atlantis Automobili memberi jaminan bahawa semua perkhidmatan selepas jualan dan sokongan pelanggan akan diteruskan tanpa gangguan.
Syarikat itu juga akan menyediakan saluran komunikasi khusus bagi memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat terkini serta bantuan yang diperlukan.
Sementara itu, Ketua Maserati Asia Pasifik (APAC), Julie Taieb-Doutriaux berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran penting dalam rangkaian Maserati di rantau Asia Pasifik.
Beliau menjelaskan bahawa pelantikan Atlantis Automobili mencerminkan komitmen jangka panjang Maserati untuk terus mengembangkan jenama tersebut di Malaysia, selain meningkatkan pengalaman pemilikan yang sinonim dengan kemewahan Itali, inovasi dan ketukangan berkualiti tinggi.
“Dengan kepakaran Atlantis Automobili dalam industri automotif serta pendekatan yang memberi tumpuan kepada pelanggan, kami yakin mereka mampu membawa pengalaman pemilikan Maserati ke tahap lebih tinggi untuk pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan,” katanya.
Dalam usaha memperkukuhkan lagi kehadiran jenama itu di Malaysia, Atlantis Automobili turut merancang beberapa pelaburan strategik termasuk pembangunan kemudahan baharu, inisiatif pelanggan dan pelbagai program yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Syarikat itu juga berhasrat memperkenalkan portfolio model Maserati generasi akan datang kepada pengguna tempatan sebagai sebahagian daripada pelan pertumbuhan jangka panjangnya di negara ini.
Dalam beberapa bulan akan datang, pelanggan dan peminat Maserati boleh menjangkakan penambahbaikan dari segi pengalaman pemilikan, kecemerlangan perkhidmatan selepas jualan serta pelbagai aktiviti yang lebih dekat dengan komuniti pemilik Maserati di Malaysia.







