
MAZDA CX60 – SUV UNTUK ORANG TUA KUNO
Mazda semakin berani. Kalau dulu orang kenal jenama ini kerana CX-5 dan rekabentuk Kodo yang menggoda, kini mereka tampil dengan sesuatu yang lebih serius untuk memberi saingan pada jenama premium Continental iaitu Mazda CX-60, SUV dua baris tempat duduk yang dibina atas platform baharu dan dijual pada harga RM200,510.
Ia sebenarnya adik kepada CX-80 yang lebih besar (dan lebih mahal, RM296,610), tapi jangan tertipu kerana CX-60 ini bukan sekadar versi pendek. Ia dibangunkan dengan karakter tersendiri, dan secara jujurnya, ia mungkin SUV paling “driver-focused” yang pernah Mazda dengan mengambil inspirasi Miata.
Rekaan – Gabungan Maskulin dan Tenang
Mazda menggambarkan reka bentuk CX-60 dengan dua istilah Jepun iaitu “Graceful Toughness” dan falsafah Kodo yang kita kenal sejak model CX-5. Maksudnya CX60 nampak gagah, tapi masih elegan dan beralun. Setiap garisan pada badan kereta ini dibuat untuk menonjolkan pantulan cahaya dan bayangan yang berubah ikut sudut pandang.


Dimensi CX-60 ialah 4,740 mm panjang dan 1,890 mm lebar, dengan jarak roda 2,870 mm. Itu bermakna ia lebih besar daripada CX-5 dan berada dalam liga sama dengan SUV Jerman segmen pertengahan. Tapi berbanding CX-80 yang lebih panjang dan ada tiga baris tempat duduk, CX-60 kekal dua baris sahaja tapi menawarkan ruang yang cukup, tapi tetap sporty.
Tambah menarik ialah CX-60 juga datang dengan active shutter grille, mekanisme yang boleh buka atau tutup sirip depan untuk kawalan aerodinamik dan penyejukan. Satu ciri yang jarang ditemui pada SUV Jepun, biasanya eksklusif untuk kereta Eropah.
Enjin dan Platform Baharu
Di bawah bonetnya, terletak enjin 2.5 liter SkyActiv-G aspirasi natural yang menghasilkan 191 PS dan 261 Nm tork, dipadankan dengan transmisi 8-kelajuan automatik jenis multi-clutch. Tak ada turbo, tak ada hibrid, tapi jangan pandang rendah. Mazda bukan jenis kejar angka atas kertas sebaliknya mereka kejar keseimbangan kuasa.


CX-60 juga dibina atas platform longitudinal baharu dengan konfigurasi rear-wheel drive asas. Ini adalah platform yang sama digunakan untuk CX70, CX-80 dan CX-90. Dengan pengagihan berat 50:50, suspensi double wishbone di depan dan multi-link di belakang, Mazda sebenarnya berjaya menghasilkan SUV yang rasa seperti bagaikan kereta sport.
Kabinnya – Tenang, Halus, dan Penuh Jiwa Jepun
Masuk ke dalam CX-60, terus terasa suasana “calm and natural” digambarkan melalui ruang dalaman yang direka dengan inspirasi daripada seni bina rumah tradisional Jepun. Mereka panggil konsep ini Ma, yang bermaksud ruang kosong yang tenang, dan Kaicho, iaitu gabungan tekstur dan material berbeza dalam harmoni.
Panel plastik dengan corak seakan sisik ikan digabungkan dengan permukaan kulit lembut, dan setiap sentuhan terasa premium walaupun bukan dari kategori “Eropah mewah”. Tiada rekaan keterlaluan, semuanya fokus kepada fungsi dan keselesaan.


Tempat duduk depan dibalut kulit berkualiti, tapi tiada ciri pengudaraan, sedikit mengecewakan memandangkan harga dan kelasnya. Stereng pula bukan dua tona macam CX-80, tapi nampak lebih sporty. Ada paddle shifter, HUD besar, dan sistem infotainmen dengan dua skrin 12.3 inci,satu untuk kluster meter digital, satu lagi untuk infotainmen utama yang sudah menyokong wireless Android Auto dan Apple CarPlay, siap dengan pengecas tanpa wayar.
Butang-butang fizikal masih dikekalkan, termasuk kawalan pendingin hawa, sunroof dan sistem audio yang merupakan satu keputusan bijak kerana Mazda tahu tak semua orang suka tekan skrin semata-mata.
Ciri menarik lain ialah Driver Personalisation System. Masukkan saja ketinggian anda, dan sistem akan automatik laras tempat duduk dan cermin sisi berdasarkan profil muka yang diimbas. Tak payah lagi tekan-tekan memory seat kerana CX-60 buat semua tu untuk anda.


Bahagian belakang cukup selesa, tapi sedikit sempit jika dibandingkan dengan saiz luarannya. Mazda memang sengaja kekalkan posisi tempat duduk rendah dan kabin padat untuk menghasilkan rasa sporty. Penumpang belakang masih dapat corong penyaman udara dan port USB-C, dan ruang but berkapasiti 570 liter, boleh dibesarkan ke 1,700 liter bila kerusi dilipat yang turut menawarkan posisi 40:20:40.
Pengalaman Pemanduan – Ini SUV Jiwa Miata
Mazda CX-60 bukan SUV yang mengejar kuasa luar biasa, tapi pemanduannya yang membuat kita senyum panjang. Dengan enjin aspirasi natural, kuasa datang secara linear, bukan letupan tiba-tiba daripada enjin turbo.
Dalam bandar, ia terasa cukup tenang, tapi bila anda tekan sedikit lebih dalam, rpm naik dan enjin mula “hidup” bersama sama karakter mekanikal yang sedap didengar, seolah-olah Mazda menggalakkan kita memandu dengan bersemangat setiap masa.


Transmisi 8-kelajuan ini pula unik kerana ia bukan torque converter biasa. Sebaliknya, ia menggunakan sistem klac, menjadikan kecekapan mekanikal lebih tinggi. Cuma, ada sedikit sentapan pada kelajuan rendah, terutama semasa merangkak dalam trafik.
Tapi apabila CX60 sudah laju, ia terasa sangat responsif. Pada 80 km/jam, bacaan rpm hanya sekitar 1,500, jadi perjalanan jauh jadi tenang dan menjimatkan bahan api. Manakala pada kelajuan 140km/jam bacaan RPM berada pada 2600 RPM
Mazda memberikan purata penggunaan bahan api CX60 sekitar 11.5 km/l, tapi dalam pemanduan relaks angka ini boleh mencecah 12–13 km/l, dengan jarak penuh setangki petrol ialah sekitar 550 km.

Dalam selekoh, CX-60 terasa mantap, tajam, dan terkawal dan inilah SUV yang boleh membuatkan pemandu tersenyum apabila memandu di jalan berliku. Malah, tidak keterlaluan jika penulis katakan yang CX-60 ini ibarat “Miata versi SUV”.
Dari segi suspensi, CX-60 berbeza karakter dengan CX-80 dimana karekter CX60 lebih keras dan sporty, seolah-olah Mazda guna short-travel spring untukpengendalian yang lebih tepat ketika membelok. Berat 1,770 kg langsung tak terasa kerana pengendalian yang seimbang dan olengan cesi yang stabil.
Sistem brek pula terasa perlu ditekan dengan lebih dalam pada pedal, tapi ia mungkin ciri yang disengajakan oleh jurutera Mazda supaya pemandu boleh melakukan gaya trail braking dengan lebih halus. Dalam ujian, SUV ini berhenti dari 100 km/jam ke 0 dalam masa 2.96 saat dengan jarak 38.3 meter, cukup meyakinkan.

Stereng pula direka dengan ratio sederhana yang hanya memerlukan sekitar 1.7 pusingan dari hujung ke hujung. Dalam aspek NVH, bunyi trafik dari persekitaran jalan cukup baik, tapi bunyi tayar agak ketara atas jalan kasar dan ini adalah satu perkara yang Mazda masih boleh perbaiki.
Kekurangan dan Realiti
Tapi tidak semua sempurna termasuklah CX60. SUV ini tiada pengudaraan pada kusyen depan dan belakang, serta corong penyaman udara belakang tidak diletak di pillar seperti kereta Eropah. Malah bagi penulis CX60 juga patut disediakan dalam varian Mild Hybrid dimana sistem ini berupaya membekalkan tork tambahan yang sangat berguna untuk memotong.
Namun, semua sistem keselamatan aktif utama masih ada termasuklah brek automatik, sistem kawalan lorong, dan adaptive cruise control level ADAS 2 yang beroperasi dengan lancar walaupun bukan yang paling canggih di pasaran.

Kesimpulan – SUV Jepun Yang Layak Lawan Eropah
Mazda CX-60 ialah model yang bukan sekadar pengganti CX-5 atau CX30, tapi sebenarnya evolusi yang melengkapi barisan. Ia SUV yang dibina untuk mereka yang suka memandu, bukan sekadar mahu kenderaan keluarga. Dengan harga RM200k lebih sedikit, CX60 memberikan rasa pemanduan premium yang boleh menyaingi BMW X3, Audi Q5 dan Mercedes-Benz GLC, tapi dengan kos penyelenggaraan lebih rendah dan jaminan 5 tahun percuma.
Secara ringkas, CX-60 bukan untuk semua orang. Tapi bagi yang faham falsafah Mazda SUV ini keseimbangan, keaslian, dan seni kejuruteraan Jepun dan inilah SUV yang boleh buat anda jatuh cinta setiap kali menekan pedal.