
MERCEDES-AMG CLE 646 SPEZIALANFERTIGUNG: COUPE EKSKLUSIF BERKUASA 637HP, HANYA 30 UNIT DIHASILKAN
Mercedes-AMG memperkenalkan sebuah model coupe berprestasi tinggi yang amat eksklusif menerusi CLE 646 Spezialanfertigung, sebuah jentera edisi terhad yang dibangunkan di bawah sub-jenama mewah Mercedes Mythos.
Hanya 30 unit akan dihasilkan dan kesemuanya dilaporkan telah habis ditempah sebelum pelancarannya.
Model ini dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter dwi-turbo dengan aci engkol jenis flat-plane yang menghasilkan 637 kuasa kuda serta tork maksimum 850Nm.

Kuasa disalurkan sepenuhnya ke roda belakang melalui transmisi AMG Speedshift sembilan kelajuan, memberikan pengalaman pemanduan yang lebih agresif dan tulen. Sistem ekzos prestasi tinggi yang dibangunkan bersama Akrapovič turut menghasilkan bunyi enjin lebih garang.
Dari segi prestasi, coupe ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 3.9 saat. Ia juga boleh mencapai 200km/j dalam sekitar 11.4 saat sebelum meneruskan pecutan sehingga kelajuan maksimum 311km/j.
Bagi memastikan pengendalian yang optimum, Mercedes-AMG melengkapkan model ini dengan sistem kawalan cengkaman yang boleh dilaraskan mengikut kehendak pemandu.

Suspensi jenis coilover dengan spring keluli khas serta penyerap hentak empat hala boleh laras turut digunakan. Kedudukan badan kereta direndahkan berbanding model CLE 53 standard bagi meningkatkan kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.
Sistem brek seramik berprestasi tinggi turut menjadi kelengkapan standard, dengan cakera brek berdiameter besar dipadankan bersama angkup enam piston di hadapan dan satu piston di belakang. Semua komponen ini dipasang bersama rim aloi bersaiz 20-inci.
Dari segi rekaan, CLE 646 Spezialanfertigung menerima perubahan menyeluruh pada badan kenderaan. Lebarnya ditambah sekitar 61mm berbanding CLE 53 biasa, manakala penggunaan meluas gentian karbon berjaya mengurangkan berat keseluruhan sehingga kira-kira 170 kilogram.

Bahan ringan tersebut digunakan pada bahagian fender, bampar hadapan, skirt sisi, bonet, bumbung dan bampar belakang. Selain itu, pakej aerodinamik khas dibangunkan untuk menghasilkan lebih 250 kilogram daya tekan (downforce) pada kelajuan maksimum.
Antara ciri aerodinamik yang disertakan ialah diffuser hadapan boleh laras, saluran pengudaraan pada fender, laluan aliran udara berhampiran lampu hadapan serta spoiler belakang boleh laras yang membantu meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh atau memecut di litar.
Bahagian kabin pula direka dengan fokus kepada pengurangan berat. Tempat duduk belakang telah dibuang, begitu juga sebahagian penebat bunyi serta beberapa sistem bantuan pemandu. Sistem audio turut dipermudahkan bagi memastikan berat keseluruhan dapat diminimumkan.

Kerusi bucket ultra ringan, panel pintu gentian karbon dan sangkar keselamatan (roll bar) menjadi antara ciri utama di ruang dalaman. Mercedes-AMG turut menggunakan panel tingkap belakang daripada bahan polikarbonat yang lebih ringan berbanding kaca biasa.
Bagi pelanggan yang mahukan lebih keupayaan di litar, pakej Performance ditawarkan dengan tambahan tali pinggang keselamatan enam titik.
Dari aspek visual, model ini tampil dengan kemasan cat khas yang menggabungkan warna Mojave Silver Magno di bahagian hadapan sebelum beralih secara beransur-ansur kepada Obsidian Black Magno di bahagian belakang, menjadikannya antara model Mercedes-AMG paling unik yang pernah dihasilkan.

