
MERCEDES-AMG GT 63 4MATIC+ COUPÉ 2025 DAN MERCEDES-AMG SL 63 S E PERFORMANCE 2025 DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM1.88 JUTA
Mercedes-Benz Malaysia melancarkan sebuah model prestasi tinggi terbaharu untuk pasaran tempatan, Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé 2025, ditawarkan pada harga RM1,882,888.
Model ini dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter twin-turbo, yang menjana 585hp dan tork 800Nm, digandingkan bersama transmisi AMG Speedshift MCT 9-kelajuan.
Jentera pacuan semua roda ini mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam hanya 3.2 saat, dengan kelajuan maksimum mencapai 315 km/j.
Teknologi AMG Performance 4MATIC+ membolehkan mod pacuan roda belakang diaktifkan apabila perlu, selain agihan tork boleh dikawal sehingga 50:50.

Suspensi adaptif AMG Active Ride Control, sistem stereng gandar belakang dan sistem brek komposit AMG antara ciri kejuruteraan yang ditampilkan.
Rekaan luaran pula diserlahkan melalui jeriji AMG yang agresif, lampu utama Digital Light, spoiler belakang aktif, diffuser aerodinamik, rim AMG 21-inci cross-spoke, serta pakej kosmetik AMG Night dan AMG Carbon Exterior.
Satu lagi elemen canggih ialah Airpanel aktif, sistem aerodinamik yang bukan sahaja menstabilkan kenderaan pada kelajuan tinggi, malah membantu menyejukkan komponen penting enjin.
Di dalam kabin, konfigurasi 2+2 tempat duduk dipadankan dengan stereng AMG dan skrin digital sepenuhnya. Paparan infotainmen utama bersaiz 11.9-inci, disokong oleh paparan head-up dan pelbagai menu khas AMG seperti:
- AMG Performance View – paparan info enjin dan pemanduan
- AMG Track Pace – data telemetry untuk pemanduan litar
- AMG Dynamics – enam mod pemanduan termasuk Comfort, Sport, Sport+, Slippery, Race dan Individual

Bersama pelancaran GT 63, Mercedes-Benz Malaysia turut membawa masuk SL 63 S E Performance, sebuah roadster prestasi tinggi dengan teknologi plug-in hybrid.
Ditawarkan pada harga RM2,168,888, model ini menggabungkan enjin V8 4.0 liter twin-turbo dengan sistem hibrid elektrik untuk menjana gabungan kuasa keseluruhan 816hp dan 1,420Nm.
Pecutan 0-100 km/j hanya memerlukan 2.9 saat, menjadikan ia antara model AMG terpantas pernah dihasilkan, dengan had laju mencecah 317 km/j.
Motor elektrik berkuasa 204hp dipasang pada gandar belakang dan disokong oleh bateri 6.1kWh, membolehkan pemanduan sifar-emisi sejauh 13 km. Model ini turut menawarkan fungsi pemanduan pedal tunggal dan sistem regenerasi tenaga.
Sebanyak lapan mod pemanduan disediakan melalui AMG Dynamic Select, antaranya Electric, Comfort, Sport, Race dan Individual.
Dari segi pengendalian, SL 63 S E Performance dilengkapi suspensi AMG Active Ride Control, sistem stereng belakang aktif, spoiler adaptif dan brek seramik komposit AMG.
Penampilan luar diserlahkan lagi dengan lampu Digital Light, pakej AMG Night II, elemen karbon dan rim 21-inci AMG cross-spoke.
Ruang dalaman pula menampilkan kemasan kulit Nappa dan mikrofiber Microcut, susunan tempat duduk 2+2, stereng AMG Performance, serta sistem Airscarf – satu ciri eksklusif untuk pemanduan terbuka.
GALERI:










