
PROTON MENJANA PENINGKATAN JUALAN TIGA BULAN BERTURUT TURUT
PROTON terus menunjukkan prestasi jualan yang memberangsangkan apabila mencatatkan peningkatan tiga bulan berturut-turut, dengan sejumlah 13,328 unit (termasuk domestik, eksport, smart, dan Proton e.MAS) berjaya diserahkan kepada pelanggan pada bulan Mei 2025.
Jumlah ini merupakan peningkatan 6.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Secara keseluruhan, jualan dari bulan Mac hingga Mei meningkat sebanyak 10 peratus berbanding suku sama pada 2024, sekali gus membawa jumlah jualan terkumpul tahun ini (YTD) kepada 61,087 unit.
Anggaran pegangan pasaran untuk Mei kekal stabil pada paras 19.2 peratus berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sekitar 69,495 unit – satu angka yang turut menggambarkan prestasi YTD syarikat.

Barisan SUV PROTON terus menjadi tunjang kejayaan jualan. Proton X70 mencatatkan lonjakan jualan paling ketara bulan ini dengan peningkatan sebanyak 44 peratus, menjual sebanyak 982 unit dan mendorong kenaikan tahunan YTD sebanyak 53.1 peratus.
Proton X50 pula kekal dominan dalam segmen SUV-B dengan jualan 2,198 unit pada Mei, menjadikan jumlah YTD kini 9,704 unit, meningkat 14.3 peratus berbanding tahun lalu.
Tidak ketinggalan, Proton X90 merekodkan pertumbuhan 15.5 peratus dengan 224 unit terjual.
Dalam kategori sedan, Proton Saga kekal sebagai pilihan utama rakyat Malaysia dengan 5,513 unit didaftarkan pada Mei, meningkat 5.8 peratus daripada April.

Proton Persona menyumbang 1,385 unit (naik 4.3 peratus), manakala sedan segmen-C terbaharu, Proton S70, kekal di landasan positif dengan peningkatan 2.7 peratus kepada 1,763 unit.
Selain itu, Proton Iriz juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 14.1 peratus dengan 331 unit, kekal antara hatchback segmen-B popular di negara ini.
Proton e.MAS 7 terus mengungguli pasaran kenderaan elektrik di Malaysia buat bulan kelima berturut-turut. SUV EV segmen-C itu mencapai kejayaan baharu dengan 916 unit dijual – kali pertama melepasi angka 900 unit sebulan, menjadikan jumlah terkumpulnya kini 3,632 unit.
Tumpuan Baharu ke Pasaran Eksport
Dengan pasaran tempatan menunjukkan prestasi mapan, PROTON kini menggiatkan langkah memperkukuh pasaran antarabangsa.
Pelancaran model CKD Proton Saga dengan pemanduan sebelah kiri (LHD) untuk Mesir menjadi antara inisiatif penting, selain penampilan e.MAS 7 di Nepal dan Singapura.

Bermula Jun, pengenalan kenderaan EV ke pasaran Trinidad & Tobago dijangka menambah jumlah eksport e.MAS 7, yang setakat ini telah melepasi 233 unit.
Proton Saga kekal sebagai model eksport utama dengan 710 unit, manakala X50 menunjukkan pertumbuhan luar biasa apabila jualan eksportnya meningkat 360 peratus kepada 694 unit YTD.
Dengan prestasi kukuh semua model dan strategi eksport yang agresif, PROTON kelihatan bersedia untuk mengekalkan momentumnya sepanjang 2025.
- BACA: MERCEDES-AMG GT 63 4MATIC+ COUPÉ 2025 DAN MERCEDES-AMG SL 63 S E PERFORMANCE 2025 DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM1.88 JUTA
- BACA: BETUL KE BATERI 12V LEMAU, ENJIN PUN LEMAH?
- BACA: BJ40 PLUS DIPASANG DI INDONESIA, BAIC SASAR KENDERAAN HIBRID DAN ELEKTRIK
- BACA: 1,008 ENJIN HILANG: KIA INDIA DEDAH KOMPLOT ANTARA BEKAS PEKERJA DAN PENIAGA BESI BURUK