
BJ40 PLUS DIPASANG DI INDONESIA, BAIC SASAR KENDERAAN HIBRID DAN ELEKTRIK
Jenama automotif China, BAIC, kini mengorak langkah penting di pasaran Indonesia apabila memulakan pemasangan tempatan model SUV lasak, BJ40 Plus.
Proses pemasangan dijalankan di fasiliti milik PT Handal Indonesia Motor (HIM) yang terletak di Purwakarta, Jawa Barat.
Langkah ini menandakan komitmen jangka panjang BAIC di rantau ini, dengan BJ40 Plus menjadi model pertama yang dipasang secara tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi BAIC Indonesia, Dhani Yahya, pelaburan awal lebih daripada Rp20 bilion (anggaran RM5.8 juta) telah disalurkan, antaranya untuk pembelian peralatan khas dan penyediaan infrastruktur.

“Untuk peralatan sahaja, sumbangan dari JDI dianggarkan sekitar Rp15 hingga Rp20 bilion (RM4.4 juta hingga RM5.8 juta), belum termasuk pelaburan dari pihak HIM,” jelas beliau.
BJ40 Plus diposisikan sebagai SUV 4×4 premium, lengkap dengan ciri-ciri canggih seperti kunci pembeza (differential lock) di roda hadapan dan belakang, tempat duduk kuasa serta sistem hiburan moden.
Ia dipasang dengan kapasiti awal sebanyak 800 unit sebulan dan ditawarkan pada harga Rp698 juta (sekitar RM202,000, atas jalan Jakarta), menjadikannya kompetitif dalam segmen SUV pacuan empat roda.
BAIC Indonesia turut merancang untuk meluaskan portfolio produk mereka dengan memperkenalkan model hibrid BJ30 pada tahun hadapan.
Selain itu, kenderaan elektrik Arcfox T1 turut dijangka diperkenalkan ke pasaran Indonesia pada Februari 2026. Model tersebut akan diimport dari China pada peringkat awal sebelum dipasang secara tempatan.



