Buletin

MOT ARAH JPJ KEMBALIKAN PERKHIDMATAN TUKAR HAK MILIK KENDERAAN DALAM TALIAN SERTA-MERTA

Kementerian Pengangkutan (MoT) mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengembalikan serta-merta perkhidmatan dalam talian bagi urus niaga Tukar Hak Milik (THM) yang sebelum ini ditangguhkan bagi tujuan penambahbaikan sistem.

Menterinya, Anthony Loke, berkata keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, susulan laporan media mengenai penangguhan sementara perkhidmatan berkenaan.

Beliau berkata, JPJ memaklumkan kepada MoT bahawa terdapat penyalahgunaan dan penipuan dalam sistem pertukaran hak milik yang menyebabkan jabatan itu berdepan liabiliti tertentu, sekali gus memerlukan penambahbaikan sistem dilaksanakan dengan segera.

“Bagaimanapun, saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat JPJ.

“JPJ bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan dalam talian bagi urusan pertukaran hak milik berkuat kuasa serta-merta,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata sebarang penangguhan sistem bagi tujuan penambahbaikan hanya akan dilaksanakan ketika cuti panjang hujung minggu ini bagi mengurangkan kesan terhadap pengguna.

Terdahulu, media melaporkan JPJ mengumumkan penangguhan sementara semua urus niaga THM kenderaan secara dalam talian berkuat kuasa hari ini.

Penangguhan itu membabitkan semua saluran digital, termasuk portal awam, kiosk serta platform rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.

JPJ dilaporkan mengambil tindakan kawalan serta-merta itu susulan beberapa aduan rasmi dan laporan di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.

Langkah berkenaan bertujuan membolehkan semakan serta penambahbaikan dibuat terhadap sistem sedia ada bagi memastikan keselamatan dan integriti proses pertukaran hak milik kenderaan terus terpelihara. – Berita Harian

Google ads
Back to top button