Buletin

BMW M3 E30 VERSI LEGO, RAI MODEL LEGENDA!

BMW Group dan LEGO Group meraikan ulang tahun ke-40 BMW M3 E30 menerusi kerjasama khas yang menghasilkan set LEGO Speed Champions BMW M3 E30 baharu.

Model ikonik tersebut kini dihasilkan dalam bentuk LEGO dengan grafik badan khas yang dibangunkan bersama oleh pasukan reka bentuk BMW Group dan LEGO Group.

Kerjasama ini juga menjadi kali pertama kedua-dua syarikat menghasilkan rekaan grafik khas secara bersama untuk model LEGO Speed Champions BMW M3 E30.

Grafik khas inspirasi BMW M Motorsport

Grafik badan khas tersebut diinspirasikan daripada warisan BMW M Motorsport dan direka bagi meraikan sejarah legenda BMW M3 E30 dalam dunia perlumbaan.

Selain digunakan pada model LEGO berskala kecil, grafik sama turut digunakan pada BMW M3 E30 sebenar yang dibina sebagai showcar khas sempena pelancaran model tersebut.

Rekaan set LEGO kekal identiti asal M3 E30

LEGO Speed Champions BMW M3 E30 dibangunkan dengan perhatian khusus terhadap perincian rekaan bagi mengekalkan identiti model asal generasi pertama BMW M3.

Antara elemen yang dihasilkan semula termasuk:

  • Jeriji buah pinggang BMW
  • Spoiler belakang
  • Rekaan bahagian depan dengan empat lampu bulat
  • Bentuk badan ikonik BMW M3 generasi pertama

Set ini mengandungi 358 komponen, berukuran 17 cm panjang dan 7 cm lebar.

Model tersebut turut dilengkapi roda yang berfungsi serta figura pemandu mini lengkap dengan baju-T BMW M.

Baju-T khas turut diperkenalkan

BMW turut akan memperkenalkan baju-T yang dipakai figura mini tersebut bermula 1 Ogos 2026.

Ia dihasilkan menggunakan kapas organik serta menampilkan cetakan grafik berkualiti tinggi pada bahagian depan dan belakang.

Siri LEGO Speed Champions

Siri LEGO Speed Champions dibangunkan bagi menghasilkan semula kereta lumba ikonik dan menjadi antara koleksi popular dalam kalangan peminat automotif serta pengumpul pelbagai peringkat umur.

BMW M3 E30 disifatkan sebagai model yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam siri tersebut kerana sejarah dan pengaruhnya dalam budaya BMW Group serta dunia kejuruteraan prestasi.

Model edisi terbaharu itu juga menampilkan grafik badan unik yang dibangunkan khas untuk projek berkenaan.

Dibuka untuk tempahan, pelancaran rasmi Ogos 2026

LEGO Speed Champions BMW M3 E30 kini dibuka untuk tempahan menerusi LEGO.com sebelum mula dijual secara rasmi pada 1 Ogos 2026.

Model tersebut akan dijual di kedai LEGO serta pengedar BMW terpilih pada harga €27.99 (RM128)

Pembeli boleh mendapatkannya melalui pengedar BMW di EU dan UK, selain dijual melalui lifestyle.bmw.com, kedai LEGO dan LEGO.com di pasaran global.

Google ads
Back to top button