Buletin

HYUNDAI PATEN GEAR MANUAL ELEKTRONIK UNTUK EV

Hyundai dilaporkan memfailkan paten baharu bagi sistem penukaran gear elektronik yang menggabungkan pengalaman pemanduan manual dan automatik dalam satu rekaan unik.

Dokumen paten yang ditemui media automotif antarabangsa menunjukkan pengeluar Korea Selatan itu sedang membangunkan tuil gear jenis “gated manual shifter” berasaskan teknologi shift-by-wire, lengkap dengan pedal klac dan beberapa mod pemanduan berbeza.

Menariknya, teknologi itu bukan sekadar direka untuk menghasilkan “gear palsu” seperti yang digunakan pada model elektrik berprestasi tinggi Hyundai Ioniq 5 N, malah berpotensi digunakan pada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) serta EV.

Sebelum ini, Ioniq 5 N menggunakan paddle shifter pada stereng untuk mensimulasikan pertukaran gear walaupun sebenarnya tiada transmisi konvensional digunakan. Sistem itu turut meniru situasi enjin mencapai redline sebelum pemandu perlu menukar gear secara manual.

Namun, paten terbaharu Hyundai dilihat lebih kompleks dan realistik.

Berdasarkan lakaran paten, sistem itu mempunyai tujuh laluan gear berfungsi dan mungkin menggunakan rekaan “open-gate” seperti kereta sport klasik.

Dalam mod automatik, beberapa laluan gear akan bertindak sebagai posisi D (Drive), R (Reverse) dan N (Neutral), manakala pedal klac pula hanya berfungsi sebagai tempat rehat kaki dengan mekanisme spring.

Pada masa sama, mod automatik itu masih membolehkan pemandu menukar gear secara sequential menggunakan laluan gear khas seperti transmisi automatik moden.

Jika pedal klac ditekan dan mod manual diaktifkan, sistem berkenaan berubah menjadi transmisi manual sepenuhnya dengan susunan gear satu hingga enam serta gear undur.

Dalam keadaan itu, pertukaran gear hanya boleh dilakukan apabila pedal klac digunakan, sama seperti kereta manual tradisional.

Perkembangan tersebut mencetuskan persoalan sama ada Hyundai akan turut memperkenalkan simulasi “mati enjin” jika klac dilepaskan secara tidak sempurna, seakan teknologi transmisi Light Speed Transmission milik Koenigsegg.

Setakat ini, Hyundai belum mengesahkan sama ada teknologi tersebut akan digunakan pada model produksi.

Bagaimanapun, langkah itu menunjukkan pengeluar berkenaan terus mencari cara baharu untuk mengekalkan elemen keseronokan pemanduan dalam era elektrifikasi.

Google ads
Back to top button