Buletin

FERRARI LUCE EV DILANCARKAN – JANA 1,000HP, HARGA MULA RM2.53 JUTA

Ferrari akhirnya melancarkan model elektrik penuh pertamanya yang dikenali sebagai Ferrari Luce, sebuah EV lima tempat duduk berprestasi tinggi yang menandakan perubahan besar dalam sejarah pengeluar supercar Itali itu.

Model berkenaan diperkenalkan secara rasmi di Rome menerusi acara khas yang menjadi penutup kepada proses pelancaran tiga fasa yang dimulakan sejak tahun lalu.

Sebelum ini, Ferrari sudah terlebih dahulu mendedahkan teknologi utama dan rekaan dalaman Luce kepada umum.

Walaupun pelancaran itu dianggap bersejarah, reaksi pasaran saham dilihat kurang memberangsangkan apabila saham Ferrari dilaporkan jatuh hampir lapan peratus pada awal dagangan di Milan.

Ada penganalisis berpendapat rekaan Luce yang lebih minimalis dan moden tidak memenuhi jangkaan sesetengah peminat Ferrari tradisional.

Dari sudut prestasi, Ferrari Luce tetap hadir dengan angka yang mengagumkan. EV berkenaan menghasilkan lebih 1,000hp dan mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 2.5 saat. Kelajuan maksimum pula melebihi 310km/j, sekali gus lebih pantas berbanding SUV V12 Ferrari Purosangue.

Ferrari membangunkan Luce bersama studio rekaan LoveFrom yang diasaskan bekas ketua pereka Apple, Jony Ive serta pereka terkenal Marc Newson.

Hasilnya, Luce tampil dengan permukaan badan lebih bersih, garisan lembut dan elemen rekaan yang jauh berbeza daripada identiti Ferrari yang selama ini sinonim dengan bentuk agresif dan berotot.

Model itu menggunakan empat motor elektrik — satu bagi setiap roda — bersama pek bateri voltan tinggi yang dibangunkan di Maranello. Platform EV baharu tersebut juga membolehkan Ferrari menawarkan konfigurasi lima tempat duduk buat kali pertama dalam sejarahnya.

Selain ruang kabin lebih praktikal, Luce turut memiliki ruang simpanan belakang sebesar 600 liter yang cukup luas untuk membawa beberapa bagasi besar atau set golf.

Ferrari menegaskan penghasilan Luce bukan sekadar memenuhi tuntutan elektrifikasi global, sebaliknya mahu membuktikan EV masih boleh menawarkan karakter pemanduan yang emosional seperti model enjin pembakaran dalaman mereka.

Salah satu cabaran utama ialah aspek bunyi. Untuk memastikan pengalaman pemanduan kekal “berjiwa Ferrari”, syarikat itu mengambil masa lima tahun dan lebih 40,000km ujian litar bagi membangunkan sistem audio khas.

Berbeza dengan pengeluar lain yang menghasilkan bunyi enjin tiruan, Ferrari menggunakan sensor pada gandar belakang untuk menangkap bunyi sebenar motor elektrik sebelum diproses dan diperkuatkan.

Walaupun tampil sebagai EV, Ferrari menegaskan mereka tidak akan meninggalkan enjin petrol sepenuhnya.

Strategi syarikat itu masih memberi fokus kepada gabungan model enjin pembakaran dalaman, hibrid dan elektrik mengikut kehendak pelanggan.

Ferrari juga dilihat terus mengekalkan strategi pengeluaran terhad bagi memastikan eksklusiviti jenama kekal terpelihara.

Harga Ferrari Luce yang bermula sekitar €550,000 (kira-kira RM2.53 juta) menunjukkan pengeluar itu tidak bercadang menjadikan EV sebagai model jualan massa.

Pelancaran Luce turut dianggap sebagai ujian penting buat Ferrari dalam menentukan sama ada teknologi elektrik mampu mengekalkan aura eksklusif dan emosi yang selama ini menjadi identiti utama jenama dari Maranello itu.

Google ads
Back to top button