Buletin

GEELY GALAXY CRUISER 700 DIUJI – SUV PLUG-IN HYBRID OFF-ROAD 1,000HP INI DILANCARKAN TAK LAMA LAGI

Model SUV lasak terbaru daripada Geely, iaitu Geely Galaxy Cruiser 700, dilihat sedang menjalani ujian jalan raya di China tanpa sebarang penyamaran menjelang pelancarannya tahun ini.

Dikenali sebagai Zhanjian 700 di pasaran China, model tersebut merupakan versi produksi kepada konsep Galaxy Cruiser yang diperkenalkan ketika Shanghai Auto Show 2025 sebelum ini. SUV berkenaan juga difahamkan sudah selesai menjalani ujian cuaca sejuk di Eropah Utara.

Imej terbaharu yang dikongsi di platform Weibo memperlihatkan bahagian belakang SUV itu dengan reka bentuk lebih garang dan berkotak. Ia tampil dengan pintu tailgate jenis buka sisi bersama tayar simpanan yang dipasang di belakang, selain lampu belakang menegak dengan tiga elemen berbentuk segi empat.

Bahagian bampar belakang pula kelihatan besar dan tebal, manakala sistem suspensi bebas di belakang memberi bayangan bahawa model ini dibangunkan untuk menawarkan keselesaan lebih baik ketika pemanduan lasak.

Dari sisi, Cruiser 700 hadir dengan fender lebar, gerbang roda besar, tiang bumbung berwarna hitam serta cermin sisi bersaiz besar.

Terdapat juga kamera pandang belakang yang dipasang berhampiran lampu brek tengah, dipercayai digunakan bersama sistem cermin pandang belakang digital bagi membantu penglihatan yang mungkin terhalang oleh tayar simpanan belakang.

Sebelum ini, teaser rasmi menunjukkan SUV itu menggunakan lampu hadapan berbentuk blok yang disambungkan dengan jalur LED penuh, bonet tinggi serta bampar depan yang tampil agresif. Ia turut dilengkapi pemegang pintu konvensional, bumbung berwarna putih dan sensor LiDAR.

Dari segi mekanikal, Galaxy Cruiser 700 dikatakan menggunakan casis ladder frame bersama sistem plug-in hybrid yang menggabungkan enjin petrol dan tiga motor elektrik. Kuasa keseluruhan dianggarkan mencecah sekitar 1,000 hp.

Model ini juga bakal dilengkapi sistem kunci differential belakang elektronik-mekanikal bagi meningkatkan keupayaan off-road.

Segmen SUV off-road di China ketika ini berkembang pesat dengan kehadiran pelbagai model baharu, justeru Geely dilihat mahu memperkukuh kedudukannya menerusi produk dalam kategori tersebut.

Menurut data jualan di China, jenama Geely Galaxy merekodkan penghantaran sebanyak 62,933 unit pada April 2026, namun angka itu menurun 14.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Google ads
Back to top button